fbpx

Pesara kerajaan rugi RM496,000 ditipu sindiket Macau Scam

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

Oleh ROSLIZA MOHAMED

KOTA BHARU – Seorang pesara kerajaan berputih mata apabila dia mengalami kerugian sebanyak RM496,000 selepas ditipu sindiket Macau Scam yang menghubunginya pertengahan bulan lalu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) Superintendan Ahmad Azizul Mohamed berkata, sebelum kejadian, wanita berusia dalam lingkungan 70-an menerima panggilan daripada individu yang menyamar sebagai kakitangan pejabat pos.

Katanya, suspek menyatakan satu bungkusan kononnya dipos oleh mangsa sampai di Sabah yang mengandungi kad pengenalan dan beberapa keping kad bank miliknya terlibat dengan kes jenayah penggubahan wang haram.

“Selepas itu, mangsa telah dihubungi beberapa suspek lain yang menyamar sebagai pegawai polis dan pegawai penyiasat kes jenayah penggubahan wang haram.

“Selama seminggu mangsa dan suspek yang menyamar sebagai pegawai penyiasat berhubung setiap hari bagi tujuan siasatan. Dalam tempoh itu, mangsa telah diminta untuk mendedahkan kesemua akaun bank miliknya,” katanya ketika dihubungi Kosmo! sebentar tadi.

Menurut Ahmad Azizul, suspek meminta mangsa memindahkan semua wang dalam bank dan Amanah Saham Bumiputera (ASB) ke satu akaun sahaja atas alasan keperluan siasatan sulit kes yang sedang dijalankan oleh suspek.

Beliau berkata, pada hujung bulan lepas suspek yang menyamar pegawai penyiasat itu meminta mangsa membuat kad bank yang baharu bagi akaun bank yang mengandungi semua wang tersebut sebelum memperdayakannya untuk mendedahkan butiran kad serta nombor pin.

“Mangsa yang melakukan semakan mendapati terdapat beberapa pengeluaran melibatkan sejumlah wang yang dilakukan suspek sejak awal bulan ini tanpa pengetahuan dan kebenarannya.

“Mangsa telah tampil membuat laporan berhubung penipuan itu di Ibu Pejabat Polis Daerah minggu lalu.

Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara selama tempoh tidak kurang daripada satu tahun dan tidak lebih 10 tahun, sebatan dan denda jika sabit kesalahan. -K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI