fbpx

Vinales mula kibar bendera putih

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
VINALES berdepan masalah dengan jentera Yamaha YZR-M1 kendaliannya sekali gus menyukarkan dia memberi prestasi terbaik dalam usaha memburu gelaran dunia MotoGP pada saingan musim ini. – AFP

SPIELBERG, AUSTRIA – Impian pelumba Yamaha Monster Energy, Maverick Vinales untuk me­rangkul gelaran Kejuaraan Motosikal Dunia (MotoGP) musim ini berdepan kesukaran selepas dilihat bergelut dengan prestasi jentera YZR-M1.

Ketiadaan juara dunia enam kali, Marc Marquez yang masih mengalami kecederaan, membuka peluang kepada pelumba-pelumba lain bersaing merebut mahkota gelaran dunia tersebut.

Vinales, 25, kini berada di kedudukan ketiga keseluruhan dan cuma dibezakan 19 mata dengan pendahulu saingan dari Petronas Yamaha Sepang Ra­cing Team, Fabio Quartararo dan lapan mata di belakang pelumba Ducati, Andrea Dovizioso.

Selepas meraih tempat kedua di Jerez, pelumba Sepanyol itu mula berdepan masalah dengan jentera Yamaha apabila sekadar menamatkan perlumbaan pada kedudukan ke-14 di Brno dan ke-10 di Grand Prix Austria.

“Saya akui jentera beroperasi begitu baik ketika di Jerez tetapi saya perlu melihat di litar-litar lain sama ada jentera ini mampu beraksi dengan sempurna ataupun tidak.

“Tiada masalah kalau jentera mempunyai cengkaman tetapi apabila tayar mula bermasalah, saya gagal untuk meraih catatan masa yang pantas. Saya tak mampu untuk berbuat apa-apa.

“Jentera saya pantas pada sesi kelayakan tetapi saya seperti bersiar-siar dalam perlumbaan sebenar. Saya akui berdepan masalah ketika perlumbaan dan tidak tahu punca sebenar.

“Semua orang memasang impian untuk memburu gelaran dunia tetapi kalau sering berdepan masalah, ia pasti memberi tekanan kepada kamu. Saya harap pasukan dapat melakukan sesuatu,” katanya. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI