KUALA LUMPUR – Malaysia bukan hanya menjadi lubuk kepada kehadiran pendatang asing tanpa izin (PATI), sebaliknya turut menjadi pilihan kepada kumpulan pelarian dari pelbagai negara yang ingin mencari kehidupan baharu.
Setakat Jun tahun ini, Suruhanjaya Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu untuk Pelarian (UNHCR) merekodkan seramai 177,490 pemegang kad UNHCR tinggal dan bermastautin di Malaysia khususnya di sekitar Lembah Klang sejak tahun 1970-an.
Ia merupakan peningkatan kira-kira 16 peratus berbanding rekod 150,204 pelarian yang berdaftar dengan UNHCR di Malaysia pada tahun 2017.
Daripada jumlah itu, pelarian dari negara Myanmar mencatat jumlah tertinggi iaitu seramai 153,190 orang masing-masing terdiri daripada etnik Rohingya (101,320), etnik Chin (22,510) dan lain-lain etnik (29,360).
Pelarian dari negara-negara lain yang turut direkodkan berada di Malaysia adalah Syria, Vietnam dan Thailand dengan 24,750 orang dikategorikan sebagai pencari suaka.

Situasi membimbangkan itu berlaku pada ketika Malaysia tidak pernah mengiktiraf status pelarian memandangkan negara ini bukan negara anggota kepada Konvensyen Mengenai Status Pelarian 1951 dan Protokol Status Pelarian 1967.
Bagaimanapun, Kosmo! difahamkan, peningkatan jumlah pelarian berdaftar di Malaysia itu turut didorong oleh perbuatan tidak bertanggungjawab warga asing bukan berstatus pelarian yang menyamar sebagai pelarian.
Satu sumber keselamatan mendedahkan, warga asing terbabit memasuki negara ini secara sah melalui jalan laut atau udara dan kemudian menyamar sebagai pelarian untuk membuat permohonan kad UNHCR.
“Warga asing terbabit masuk ke Malaysia secara sah dan setibanya di negara ini mereka membakar pasport dan memohon kad UNHCR.
“Dengan memiliki kad UNHCR itu, mereka dengan mudah menikmati hak-hak istimewa pelarian dan bebas mencari rezeki,” katanya kepada Kosmo! baru-baru ini.
Hak keistimewaan itu merangkumi perlindungan, penempatan semula, penyertaan dalam komuniti, kesihatan dan pendidikan.
Pendedahan itu disokong oleh seorang pelarian Rohingya, Abdul Ghafur, 28, yang mendakwa terdapat warga asing dari Myanmar menyamar sebagai etnik Rohingya bagi mendapatkan kad UNHCR di Malaysia.
Dia yang merupakan pemegang kad UNHCR sah mendakwa, warga asing terbabit membuang dokumen pengenalan diri termasuk pasport selepas memasuki Malaysia untuk memohon status pelarian.
“Mereka buang pasport mereka dan kemudian buat permohonan kepada UNHCR. Mereka pandai bercakap bahasa Rohingya ketika ditemu bual pihak UNHCR,” dakwanya lagi.
Pelarian Rohingya, Osman Abdul Syukur, 25, pula mendakwa, terdapat warga Myanmar bukan etnik Rohingya sanggup ditahan pihak berkuasa selepas memasuki Malaysia secara haram.
Dakwa pengutip barang lusuh itu, warga asing terbabit mengaku etnik Rohingya supaya ditempatkan di kem tahanan untuk memohon kad UNHCR.
Dakwanya, etnik selain daripada Rohingya seperti etnik Mon dan Chin sanggup dipenjara semata-mata untuk mendapatkan kad UNHCR.
“Pemegang kad UNHCR mempunyai ‘lesen’ untuk bergerak bebas membuatkan ramai warga asing ingin memiliki kad tersebut,” katanya.
















