KUALA LUMPUR – Skuad badminton wanita kebangsaan menerima khabar duka apabila pemain beregu wanita utama negara, Pearly Tan tidak dapat bersama pasukan bagi mengharungi saingan Piala Uber di Horsens, Denmark bermula 24 April hingga 3 Mei depan.
Ia berikutan kecederaan belakang yang dialami ketika beraksi pada Kejohanan Badminton Asia (BAC) yang berlangsung di Ningbo, China minggu lalu masih belum pulih sepenuhnya.
Pearly menyuarakan rasa terkilan kerana tidak dapat bersama rakan sepasukan menggalas misi penting itu, lebih-lebih lagi dia merupakan seorang pemain yang tidak mudah berganjak dari medan ‘perang’.
“Saya memohon maaf sekiranya membuatkan semua orang kecewa. Baru-baru ini saya mengalami kecederaan belakang di kejohanan terakhir dan amat kesal dengan situasi ini. Berat hati untuk mengatakan bahawa saya tidak akan beraksi di Piala Uber kali ini.
“Tidak ada perkara lain yang saya mahu selain masuk ke dalam gelanggang dan berjuang untuk pasukan. Tempoh beberapa hari ini sangat sukar sehingga tidak dapat melelapkan mata selain mengharapkan ada pilihan lain,” katanya.

Pearly mengesahkan dia tidak dapat menyertai skuad Piala Uber kali ini menerusi satu hantaran di laman Facebooknya hari ini.
Pada masa sama, pemain kelahiran Alor Setar, Kedah itu menegaskan, dia akan tetap memberikan sokongan kepada rakan sepasukan sepanjang kejohanan berlangsung selain mahu fokus kepada proses pemulihan kecederaan.
“Memang sesuatu yang menyakitkan tidak dapat bersama rakan sepasukan tetapi saya mahu mereka tahu bahawa saya sentiasa akan memberikan sokongan walaupun dari jauh. Saya perlu jaga diri dan beri masa kepada badan untuk pulih.
“Saya janji akan melakukan segala-galanya bagi memastikan saya dapat kembali dengan lebih kuat. Sekali lagi saya memohon maaf kerana membuatkan anda semua risau dan terima kasih atas sokongan diberikan,” ujarnya.
Ketiadaan Pearly sekali gus meletakkan Malaysia dalam situasi sukar bagi mencapai sasaran mara ke pusingan suku akhir seperti yang diletakkan barisan kejurulatihan pasukan negara. – KOSMO! ONLINE














