fbpx
DAIYAN TRISHA

Cerewetnya Daiyan Trisha

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

SI manis kreatif! Itu ungkapan pendek paling layak sebagai gambaran buat pemilik nama Daiyan Trisha. Predikat tersebut ketara terpampang menerusi identiti dan kerja seni yang terzahir olehnya.

Elemen kreatif juga dapat didengar dalam setiap melodi mahupun visual yang dipersembahkan menerusi lagu-lagunya. Boleh dikatakan, aspirasi Daiyan agak melencong daripada trend muzik tempatan. 

Ada identiti, namun sayangnya lagu-lagu Daiyan bagai dianaktirikan oleh sesetengah pihak dek kesukaran mendapat slot siaran di corong radio tempatan. Bahkan, ada yang menganggap lagunya bersifat syok sendiri kerana tidak menepati aliran muzik tanah air.

DAIYAN pernah merakamkan semula lagu duet popular daripada filem The Greatest Showman berjudul Rewrite The Stars bersama penyanyi Sam Tsui. – ihsan Justin Ong, Maxine Bowen.

 

Populariti

Akur dengan pandangan sesetengah pihak tersebut, pemilik nama sebenar Daiyan Trisha Mohd. Nasaruddin itu sebenarnya tidak mahu ambil peduli sama ada dilabel artis syok sendiri atau apa sahaja gelaran orang terhadap dirinya.  

Ujarnya, dia tidak mahu menghasilkan sesebuah naskhah hanya untuk memuaskan hati orang lain atau sekadar ingin menempa populariti dalam industri tanah air.

“Saya sentiasa optimis dengan apa yang saya buat. Selagi ada peminat yang sentiasa menanti buah tangan saya, tak akan sesekali saya anggap semua lagu saya sebagai syok sendiri.

“Saya memang suka buat lagu ikut kepala sendiri. Sebab bila kita suka dengan karya sendiri, saya dapat sampaikannya sepenuh jiwa selain dapat kekalkan identiti Daiyan Trisha menerusinya. Itu pendirian muzik saya,” katanya.

Sekali lagi, Daiyan menegaskan dia bukan seorang penyanyi yang menerbitkan sesebuah lagu kerana mahu mengejar populariti, namun lebih ke arah menjaga kualiti dan nilai seni dalam setiap karyanya.

“Bukan berlagak sebab tak ikut kehendak muzik tanah air, bagi saya trend muzik tempatan pada hari ini agak regresif dan jauh ketinggalan ke belakang daripada trend muzik antarabangsa.

“Jadi, tidak semestinya seseorang artis itu popular, hasil kerjanya berkualiti. Ada  yang tidak terkenal tetapi lagunya sangat bagus,” tutur bintang filem Busker itu.

Tambahnya: “Sasaran saya dalam industri ini bukan untuk memaksimumkan populariti, sebaliknya mahu terus mengejar apa sahaja demi memenuhi kepuasan dalam bidang muzik.”

Meskipun bintangnya kurang menyengat dalam kalangan peminat di Malaysia, dia bersyukur kerana pernah berpeluang menyertai siri  jelajah muzik di beberapa buah negara Asia seperti Indonesia, Filipina dan Taiwan pada tahun lalu.

DAIYAN kini merupakan jurucakap bagi beberapa jenama terkemuka antarabangsa seperti Dior, Louis Vuitton dan Gucci.

 

Impian, On My Way

Pelantun lagu On My Way itu turut mengakui cerewet dalam setiap karya yang ingin dipersembahkan kepada umum selain tidak mahu terikat dengan kehendak muzik tempatan.

“Saya pentingkan artistik dalam setiap lagu yang mahu diterbitkan tidak kiralah untuk lagu sahaja atau klip muzik.

“Begitu juga dengan kehidupan seharian, termasuklah dengan siapa saya mahu bekerjasama. Saya serius mahu memberikan yang terbaik untuk apa jua yang mahu dipersembahkan kepada dunia.

“Pandangan seni saya berbanding artis lain memang berbeza. Bukan bermaksud industri Malaysia tidak bagus, ada yang bagus tetapi kerana terlalu ikut apa yang pasaran mahu, industri muzik sukar bergerak,” katanya.

Berbicara lanjut mengenai perjalanan seni, penyanyi itu baru sahaja melancarkan single terbaharunya, On My Way, sentuhan komposer terkenal seperti  Omar K, Mike Chan dan Faizal Tahir. 

On My Way juga dihasilkan untuk projek eksklusif bersama JOOX Malaysia.

Menurut Daiyan, single tersebut berkisarkan individu yang dalam perjalanan mencari jati diri dan apa yang mahu dicapai dalam hidup. 

DAIYAN bakal memulakan penggambaran sebuah filem pada September ini.

 

“Mesej itu yang saya ingin ketengahkan. Kita hanya kena percaya pada diri sendiri dengan bekerja keras dan yakin setiap usaha dicurahkan tentu membuahkan hasil pada hari mendatang,” katanya.

Sejak dilancarkan pada Julai lalu, klip muzik rasmi lagu tersebut telah mendapat lebih 700,000 tontonan.

 “On My Way merupakan hadiah kepada peminat yang lama menunggu lagu bahasa Melayu daripada saya,” katanya yang kali terakhir muncul dengan lagu bahasa Melayu pada 2018 menerusi Langit.

Bercakap tentang harapan, penyanyi yang pernah popular dengan lagu Kerana Kau itu turut memasang impian  merangkul anugerah dalam bidang muzik mahupun perfileman.

“Kalau boleh saya nak menang anugerah atau dapat pengiktirafan untuk lagu, drama atau filem lakonan saya.

“Agak sedih sebenarnya apabila Anugerah Industri Muzik tidak lagi dianjurkan. Saya teringin juga tercalon atau menangi sebarang kategori pada majlis tersebut terutama bagi kategori lagu dan album bahasa Inggeris.

“Saya mahu melangkahkan kaki ke pertandingan nyanyian berprestij, tidak kisahlah sebagai finalis atau tercalon sebagai peserta. Semoga semua hajat saya tercapai,” tutupnya.

DAIYAN berharap ada peluang untuk menjulang trofi anugerah suatu hari nanti.
Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN