fbpx
DAYANG NURFAIZAH

Eksklusif, cantik cara Dayang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

ADA turun dan naik dalam perjalanan karier seninya sejak bergelar artis lebih 20 tahun lalu, namun dalam tempoh beberapa tahun kebelakangan ini, Dayang Nurfaizah dijulang di atas takhta populariti.

Menjadi antara penyandang status penyanyi papan atas, sama sekali tidak membuatkan Dayang mendabik dada. Menunduk ke bumi menyusun jawapan, aura positif yang disalurkan wanita itu cukup membuktikan kenyataan yang terbit dari hati budinya.

TIDAK pernah berasakan dirinya eksklusif, Dayang berkata, dia cuma mahu menjalani kehidupan dengan bersederhana dan menjadi diri sendiri. – MOHD FARIZWAN HASBULLAH

 

“Saya tidak pernah rasa diri ini sebagai yang eksklusif. Selama ini, saya terima apa sahaja tawaran yang datang jika sesuai dengan kelapangan dan masa.

“Termasuk dari segi imej dan penampilan, saya tidak pernah memilih untuk hanya berkolaborasi dengan pereka antarabangsa dan menolak kerjasama dengan hasil kerja tempatan.

“Sebaliknya saya terbuka dan terima untuk menerima kedua-duanya jika bersesuaian dengan imej. Sebab yang berdiri di atas pentas untuk bertemu dengan peminat itu adalah saya,” jawabnya tatkala diajukan status eksklusif dirinya.

Namun, penyanyi berusia 39 itu mengakui ada kepenatan yang mengalir dalam hati lebih-lebih lagi berhubung jangkaan tinggi daripada khalayak terhadap dirinya untuk kekal berada di kedudukan tinggi.

“Jangkaan orang kadangkala buat saya penat. Tipulah kalau tidak penat tetapi ini adalah pilihan saya. Ini dunia yang Dayang Nurfaizah pilih.

“Jadi saya perlu beri sepenuh komitmen dan sentiasa cuba meningkatkan diri ke tahap yang lebih baik dari semasa ke semasa,” ujar pemenang Anugerah Juara Lagu ke-31 (AJL31) itu lagi.

Ditemui usai majlis introduksi dirinya sebagai duta produk kecantikan Bungaa di sebuah hotel di Damansara, Petaling Jaya, Dayang juga diajak berbicara mengenai rutin kecantikannya.

Menginjak usia 40-an, penyanyi bertubuh kecil molek itu mengakui semakin matang dalam urusan penjagaan wajah kerana menyedari kulit yang sihat lebih penting berbanding menyembunyikannya di sebalik solekan.

CANTIK bagi Dayang sangat subjektif. Baginya, cantii ialah ketika seseorang itu berasa yakin dengan diri sendiri.

 

“Saya mula memakai solekan sejak di bangku sekolah dan ketika itu muka saya memang tidak pernah ada jerawat. Ketika semakin berusia, perubahan berlaku disebabkan kerap pakai solekan.

“Dari situ saya sedar, kulit yang sihat dan cantik lebih penting. Sampai bila perlu pakai mekap. Kecantikan sendiri bersifat subjektif. Bagi saya makna cantik ialah ketika kita berasa yakin dengan diri sendiri,” ujarnya yang sedari dahulu menolak penggunaan produk pemutihan kerana selesa dengan warna kulit asalnya.

Ditebak dengan kenangan lama membabitkan imejnya sewaktu mula-mula bergelar penyanyi, Dayang tertawa kecil menahan malu, namun tidak berat hati menjawab pertanyaan.

Akui penyanyi kelahiran Bumi Kenyalang itu, dia lega saat terkenang semua zaman mudanya yang banyak didedahkan dengan pelbagai eksperimen imej pelik seperti berambut merah jambu.

“Kalau diingat semula, perkara sebegitu sebenarnya membuatkan saya tersenyum. Semua itu menjadi proses pembelajaran untuk saya mengenal imej mana yang sesuai dengan diri.

“Jujur saya tidak pernah malu dengan imej lama sebab itulah diri saya. Buat apa mahu malu. Tetapi kalau boleh, janganlah keluarkan semula gambar-gambar lama saya,” selorohnya sambil menghamburkan tawa besar.

 

DAYANG akan muncul pada konsert dalam talian High5JOOX Online Concert pada 15 Ogos ini secara eksklusif menerusi platform penstriman JOOX.

 

Cerewet

Tidak boleh lari daripada persoalan peribadi termasuklah status diri, itulah antara harga hal yang perlu dibayar bagi seseorang artis dan Dayang tidak terkecuali.

Acap kali, persoalan sebegitu menjadi soalan wajib bagi menutup sebarang sesi temu bual. Selagi tidak berpunya selagi itulah orang akan bertanya.

Masih belum menemui cinta yang dicari, pelantun lagu Seandainya Masih Ada Cinta itu mengakui perlu untuk bersikap cerewet dalam memilih pasangan hidup.

“Setiap wanita sepatutnya cerewet sebab kita mahu pilih pasangan hidup yang akan bersama sampai akhir hayat.

“Sudah tentu kita tidak mahu kehidupan bersama diakhiri dengan perceraian, jadi memang perlu memilih.

“Lebih-lebih lagi kita dengar banyak kes yang berlaku membabitkan pergaduhan suami isteri sehingga berbunuhan. Sejujurnya saya takut, sebab akhirnya perkara sebegitu menjadikan golongan wanita sukar untuk mempercayai perkahwinan.

“Takut memang takut tetapi saya teringin untuk kahwin. Jadi doakanlah yang terbaik untuk saya. Apa yang penting lelaki itu mestilah bukan kepunyaan orang,” ujarnya.

PELAKSANAAN Perintah Kawalan Pergerakan yang kini memasuki fasa pemulihan membuatkan banyak artis terjejas, Dayang juga tidak terkecuali.

 

Konsert online

Berkongsi sedikit perkembangan terkini, Dayang berkata, dia masih mencari material untuk projek single terbaharunya selepas kali terakhir muncul dengan lagu X Missing You pada Februari lalu.

Selain itu, Dayang akan muncul pada konsert dalam talian High5JOOX Online Concert pada 15 Ogos ini secara eksklusif menerusi platform penstriman JOOX. Selain Dayang, konsert online High5JOOX turut menampilkan penyanyi Daiyan Trisha, FML, Liana dan Budak Ngam.

Istimewanya juga, Dayang akan menyampaikan sebuah lagu projek Joox Originals, Gerak Dulu yang dihasilkan oleh Faizal Tahir menerusi konsert berkenaan.

“Persembahan itu dirakamkan dalam studio dan akan menjadi pengalaman baharu buat saya.

“Kelainan sudah tentu ada terutama dari segi interaksi bersama peminat walaupun sebenarnya saya lebih suka
ada audiens di depan mata.

“Tetapi apa lagi boleh kita buat kalau ini adalah norma baharu yang perlu dijalani bermula sekarang.

“Sekurang-kurangnya saya masih ada ruang untuk bernyanyi,” tutupnya.

PENGASAS Bungaa, Arham Syafiq Azmi (kiri) dan Pengasas Bersama Bungaa, Aryana Syafiqah Abdullah pada majlis pelantikan Dayang Nurfaizah sebagai duta produk berkenaan.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN