fbpx

Artifak zaman Dinasti Song ditemui di Pekan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Mesran (tengah) bersama Ruzairy (kanan) dan Dr. Dionysius Sharma menunjukkan duit syiling dan serpihan tembikar zaman Dinasti Song yang ditemui di Sungai Kuala Pahang, Pekan hari ini.

Oleh MOHD. SHAHRULANOOR

PEKAN – Kumpulan penyelidik bersama Jabatan Warisan Negara menemui beberapa serpihan artifak seramik serta enam keping wang syiling dari zaman Dinasti Song di dasar Sungai Kuala Pahang dekat Kampung Pulau Jawa di sini dua hari lalu.

Ketua Pengarah Jabatan Warisan Negara (JWN), Mesran Mohd. Yusop berkata, kumpulan ekskavasi itu turut menemui bangkai kapal kayu yang sebahagian besarnya ditimbus tanah liat di dasar sungai.

Katanay, hasil penemuan itu akan membuka lembaran baharu berkaitan hubungan dagang Pahang-China yang pernah terjalin pada tempoh antara tahun 960 hingga 1279.

“Kita percaya di bawah tanah liat di dasar sungai ini ada lebih banyak artifak yang tertimbus bersama kapal dagang dari zaman Dinasti Song.

“Setakat ini, kita menemui serpihan tembikar dan enam keping duit syiling yang diperbuat daripada campuran gangsa dan bijih timah,” katanya ketika sidang akhbar di sini hari ini.

Mesran menambah, penemuan itu sekali gus menjadi satu lagi bukti Sungai Kuala Pahang pernah menjadi tempat singgah kapal dagang antarabangsa setanding pelabuhan Kesultanan Melaka suatu ketika dahulu.

“Amat diharap kita dapat merungkai sejarah hubungan (diplomatik) Pahang dengan kerajaan Dinasti Song melalui hubungan perdagangan di Pekan ini,” ujarnya.

Dalam pada itu, Pengarah Arkeologi JWN, Ruzairy Arbi berkata, artifak seramik ditemui itu daripada kategori berkualiti tinggi yang pernah digunakan golongan bangsawan.

“Tembikar yang kita temui ini adalah daripada jenis yang digunakan orang besar (bangsawan) dan dengan itu, kita juga akan cuba mencari siapa orangnya (diplomat China yang mengetuai ekpedisi kapal dagang itu),” katanya.

Ketua ekskavasi, Datuk Dr. Dionysius Sharma pula berkata, penemuan itu juga menguatkan bukti bertulis bahawa Pahang sudah lama dikenali sebagai Pohong dalam kalangan pedagang China sejak abad kelima.

“Kita masih berusaha mendapatkan usia sebenar artifak-artifak ini. Seramik dan syiling pertama kali ditemui di atas timbunan pasir yang dikorek jentera pengorek yang menjalankan kerja mendalamkan sungai.

“Seramik ini juga pecah disebabkan ia di sedut memasuki saluran jenter pengorek sebelum ditimbun di daratan pasir.

“Di bawah tanah liat di dasar sungai ini, kita percaya masih banyak lagi artifak yang masih berada dalam keadaan sempurna,” katanya. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI