fbpx
SITI NORDIANA

Siti Nordiana tidak sepi sendiri

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

SEJAK bertapak dalam industri pada tahun 1999, dia tidak lagi menoleh ke belakang meskipun satu persatu onak terpaksa dilaluinya untuk berdiri di posisi sekarang.

Suatu ketika dahulu, dia juga pernah diberi jolokan penyanyi kampung atau ‘leman’ kerana sering hadir dengan lagu jiwang yang merintih-merintih.

Menempah populariti dengan lagu-lagu seperti Cinta Hanya Sandaran dan Bukan Mengungkit Tapi Membangkit, begitu juga Yang Paling Comel dan Memori Berkasih (duet bersama Achik), namanya menjadi tidak asing lagi.

Namun, peredaran waktu dan entah di mana silapnya, Siti Nordiana pernah hilang seketika daripada radar muzik.

Hakikatnya, khalayak dan wanita yang mesra disapa sebagai Nana ini sangat berterima kasih terhadap program Gegar Vaganza. Menjadi peserta seterusnya menyandang gelaran juara musim kedua program berkenaan pada 2015, jenama Siti Nordiana melonjak ke bintang.

Lantas, bermula dengan Pesanan Teragung, Terus Mencintaiku, Hatiku Milikmu, Satukan Rasa dan Kesalahan Terindah, Nana memahat semula namanya ke jiwa khalayak.

Terbaharu, pemilik nama penuh Siti Nordiana Alias itu mempertaruhkan Angkara yang mula menjamu halwa telinga peminat pada bulan lalu.

NANA sering menjadikan lagu-lagu artis baharu sebagai rujukan agar dapat menghasilkan karya seiring dengan peredaran zaman. – ihsan FMC Music Sdn. Bhd.

 

Angkara

Angkara muncul dengan bergaya, bahkan pendekatan pelancaran naskah berkenaan tidak sama seperti lagu-lagunya sebelum ini.

Demi Angkara, Nana membawakan sebuah drama mini tiga episod lakonan bersama Fikry Ibrahim sebagai introduksi.

Selain itu, single yang disifatkan lari daripada kebiasaan itu dikatakan mempunyai nilai sentimental yang dioleh Nana.

“Benar, lagu ini sangat istimewa. Ketika proses penulisan lirik, saya luahkan semua rentetan hidup dan teman sekeliling di dalamnya. Rasa dikhianati, dicurangi dan masalah rumah tangga antara yang terpahat dalam setiap bait lirik Angkara.

“Jadi, sesiapa yang mendengar lagu bergenre pop rock balada ini pasti akan merasakan semua kesakitan dan keperitan jiwa yang saya curahkan. Bukan mudah untuk memberi roh dalam sesebuah lagu, namun saya bersyukur dan puas hati dengan hasilnya,” ujar Nana.

NANA mahu menghasilkan duet terbaharu dengan seorang artis lelaki pada tahun depan.

 

Tambahnya: “Selain itu, pertama kali mendengar melodinya pada tahun lalu, saya telah jatuh cinta. Bukan mudah untuk saya sukakan sesebuah melodi dengan mendengarnya sekali sahaja, jadi lagu ini memang sesuatu!”

Melonjak ke tangga trending dalam YouTube, lagu ciptaan Sharon Paul dan lirik tulisan bersama dengan Ahmad Fedtri Yahya itu dilihat berjaya membeli jiwa pendengarnya.

“Lebih menggembirakan, klip muzik Angkara dalam YouTube telah mencapai lebih sejuta tontonan dan menerima lebih 30,000 komen,” jelasnya.

Mengulas tentang pembikinan drama pendek bersama Fikri Ibrahim, begini jawab penjulang trofi Penyanyi Wanita Popular Anugerah Bintang Popular 2018 itu:

“Drama itu dibikin kerana ingin memberi peluang kepada pendengar untuk lebih menyelami emosi dan menghayati lirik Angkara.”

Teman hidup

Mengenali Nana yang berusia 36 tahun itu, dia tidak pernah bosan atau lari daripada menjawab usikan nakal pihak media tentang pemilik taman hati.

Penyanyi berkulit sawo matang itu juga cukup sedar, status ibu tunggal yang disandang membuatkan gosip cinta mudah menjengah ke setiap simpang laluan kelananya. Khai Bahar dan Fikry, antara nama yang terkait dalam kisah cinta terbaharu Nana.

“Saya sering mendapat soalan, tidakkah berasa sepi tanpa lelaki bergelar suami. Saya hanya tergelak dan jawapan saya ringkas, saya ada anak, Mohd Rayyan Nakhaie yang kini berusia 12 tahun.

“Tiada istilah sepi dalam hidup saya ketika ini. Keluarga dan kawan-kawan selalu ada. Saya juga belum ada calon suami,” katanya.

Ujar pelakon yang popular dengan drama Semanis Honey itu, buat ketika ini, dia masih dalam tempoh memperbaiki kekurangan diri sebelum betul-betul bersedia menerima kehadiran lelaki istimewa.

“Sejujurnya bukan saya tidak mencari, tetapi saya percayakan takdir Ilahi. Apa pun terus doakan agar jodoh saya dipermudahkan, seelok-eloknya biarlah tiba pada waktu yang tepat. Saya tak mahu terburu-buru.”

Akuinya, tidak berasa rimas walaupun sering kali digosipkan dengan beberapa rakan artis.

“Saya sudah bergelumang dengan gosip-gosip cinta sejak berumur 15 tahun. Jadi, telah lali dengan cerita-cerita sebegitu dan saya anggap semua itu sebagai asam garam yang perlu saya tempuh sebagai anak seni. Saya okey sahaja,” katanya ringkas mengakhiri perbualan.

PERANCANGAN jangka panjang, Nana ada agenda untuk melebarkan sayap perniagaannya dengan mengeluarkan produk makanan.
Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN