fbpx

LTTE masih kumpulan pengganas

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan

Oleh RASDAN AHMAD

KUALA LUMPUR – Kementerian Dalam Negeri masih menetap pendirian mereka dengan mengklasifikasikan kumpulan Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE) sebagai kumpulan pengganas oleh kerajaan Malaysia sejak 12 November 2014.

Timbalan Menterinya, Datuk Seri Dr. Ismail Mohamed Said berkata, kementerian mempunyai asas yang kukuh untuk mengekalkan penyenaraian LTTE sebagai kumpulan pengganas kerana ia masih mempunyai ideologi yang boleh menimbulkan ancaman terhadap ketenteraman awam, keselamatan rakyat dan negara ini.

“Mengikut Seksyen 66B (1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001, Menteri Dalam Negeri berkuasa untuk menyenaraikan individu atau kumpulan yang terbabit dalam kegiatan keganasan sebagai Entiti Yang Ditentukan.

“Penyenaraian entiti berkenaan adalah berdasarkan maklumat perisikan dan keselamatan terkini yang diterima daripada pihak berkuasa seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan agensi kawal selia atau pengawasan berkaitan,” katanya dalam sesi soal jawab lisan di sidang Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau berkata demikina ketika menjawab soalan Ahli Parlimen PH Selayang, William Leong Jee Keen (Selayang-PH) yang ingin tahu mengenai mengapa kerajaan tidak mengeluarkan LTTE dari senarai pertubuhan pengganas.

Jelas Ismail, pihak berkuasa bertanggungjawab mengambil tindakan mengikut saluran undang-undang bagi membendung sebarang bentuk penyebaran ideologi berkaitan kumpulan ini.

Malah Ismail berkata, banyak negara lain termasuk India, Kanada, Amerika Syarikat (AS) dan United Kingdom juga masih meletakkan LTTE dalam senarai kumpulan pengganas.

“Saya ingin menegaskan bahawa penyenaraian LTTE sebagai kumpulan pengganas adalah tertakluk kepada kuasa Menteri Dalam Negeri yang diperuntukkan oleh undang-undang.

“Setiap kumpulan pengganas perlu dikaji semula setiap enam bulan oleh Menteri Dalam Negeri, mengikut suatu perintah di bawah Seksyen 66B (9) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001,” katanya.-K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI