fbpx
YAMANI ABDILLAH dan Jamal Abdillah.

Masuk Big Stage bukan atas tiket kabel – Yamani Abdillah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MEMILIKI seorang ayah bertaraf legenda dalam dunia hiburan tempatan bukanlah satu tiket bersenang-lenang buat si pendatang baharu, Osama Yamani Abdillah.

Sejak dahulu lagi, anak muda yang mahu hanya dikenali sebagai Yamani Abdillah itu cuba berusaha untuk membina tapak dalam dunia nyanyian tanpa dibayangi kehebatan bapanya, Datuk Jamal Abdillah.

Kali ini, Yamani, 18, mengetuk pintu nasib dengan menyertai program realiti Big Stage musim ketiga edisi 2020 yang mempertaruhkan bakat Budak Baru Nak Up (BBNU).

Menafikan pemilihannya dalam program tersebut disebabkan pengaruh bapanya, Yamani ketika ditemui pada pelancaran Big Stage 2020 di The Starling Mall, Damansara itu berkata, Jamal sendiri tidak tahu sewaktu dia menghadiri sesi uji bakat program berkenaan.

KOSMO!: Apakah yang membuatkan anda mahu bergelar peserta dalam program Big Stage?
YAMANI: Saya mahu orang mengenali Yamani Abdillah sebagai seorang penyanyi profesional dan bukan sekadar anak kepada Raja Pop Malaysia. Tidaklah saya menafikan tuah bergelar anak Jamal Abdillah, cuma saya ingin membuktikan bakat sendiri tanpa dibayangi nama bapa.

Adakah bapa mendorong anda menyertai program ini?
Ini adalah pilihan dan keputusan saya sendiri. Saya hanya memberitahu baba (panggilan kepada Jamal) tentang Big Stage selepas saya sudah pun terpilih. Dia agak terkejut tetapi memberi sokongan penuh dan memberitahu, inilah satu platform yang bagus untuk menonjolkan bakat saya. Tiada isitilah berjaya memasuki pertandingan ini kerana saya memegang tiket anak Jamal Abdillah. Saya pergi ke sesi uji bakat seperti orang lain dan melalui proses pemilihan yang sama.

SEBAGAI persiapan fizikal menempuh tekanan dalam pertandingan Big Stage, Yamani berazam mahu menurunkan lagi berat badannya untuk mendapat sosok yang ideal. – FARIZ RUSADIO

Anda sudah bersedia untuk mungkin dibandingkan dengan bapa sewaktu pertandingan kelak?Itu adalah sesuatu yang tidak boleh dielak kerana baba memiliki sejarah kerjaya yang hebat. Dia juara Bintang RTM 1979 dan itu sedikit sebanyak memberi tekanan kepada saya. Namun, sebagai seorang penyanyi profesional, saya perlu terima keadaan itu dan buat yang terbaik. Kalah atau menang adat pertandingan, apa yang penting saya tidak akan mengalah dan berusaha sehabis baik.

Mengapakah anda memilih nama pangkal Abdillah dan bukan Jamal?
Saya sengaja menukar nama komersial menjadi Yamani Abdillah kerana secara tidak langsung mahu menyerap aura bintang bapa saya. Bapa saya juga memberi keizinan menggunakan nama itu, lagipun tetap nama bapa saya cuma bukan nama pertama.

Anda kelihatan sedikit kurus, berapa banyak berat badan yang sudah berjaya diturunkan?
Memang, saya diet dan bersenam khas untuk menyertai Big Stage. Sebelum ini berat saya 112 kilogram (kg), sekarang sudah turun ke angka 98kg. Saya masih mahu menurunkan sedikit berat badan untuk mendapat sosok tubuh yang ideal. Saya perlu lebih kurus agar stamina lebih terjaga sepanjang pertandingan. Jika fizikal tidak bersedia, saya akan lebih cepat penat dan sukar menyanyi dengan baik.

Apakah sasaran anda dalam Big Stage kali ini?
Semua orang mahu menjadi juara tetapi bergantung kepada rezeki. Saya hanya mahu fokus memberikan persembahan terbaik pada setiap minggu dan jika tersingkir, sekurang-kurangnya saya keluar secara bermaruah. Bapa selalu berpesan tiada apa yang hendak dimalukan kalau tewas kerana apa yang lebih penting ialah pengalaman.

POPULAR