fbpx

[VIDEO] Guan Eng didakwa lagi berkaitan rasuah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Guan Eng mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Khas Rasuah Butterworth hari ini atas pertuduhan berkaitan rasuah di antara Januari 2011 dan Ogos 2017.

SEBERANG PERAI – Bekas Menteri Kewangan, Lim Guan Eng mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Khas Rasuah Butterworth di sini hari ini atas pertuduhan berkaitan rasuah di antara Januari 2011 dan Ogos 2017.

Guan Eng, 60, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Hakim Ahmad Azhari Abdul Hamid.

Mengikut pertuduhan, beliau didakwa sebagai seorang pegawai badan awam iaitu Ketua Menteri Pulau Pinang telah menggunakan kedudukannya untuk suapan bagi dirinya sendiri iaitu wang berjumlah RM3,300,000 dengan mengambil tindakan membantu syarikat milik Datuk Zarul Ahmad Mohd. Zulkifli dilantik untuk melaksanakan Projek Pembinaan Jalan-jalan Utama dan Terowong di Pulau Pinang yang bernilai RM6,341,383,702.

Beliau didakwa melakukan kesalahan itu di antara Januari 2011 dan Ogos 2017 di Pejabat Ketua Menteri Pulau Pinang, Tingkat 28, KOMTAR, George Town dekat sini.

Ahli Parlimen Bagan itu didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 23(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 (Akta 694) yang boleh dihukum mengikut Seksyen 24(1) akta sama.

Jika sabit kesalahan beliau boleh dihukum penjara tidak lebih dua tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan yang menjadi hal perkara kesalahan itu jika suapan itu dapat dinilai atau berbentuk wang atau RM10,000 mengikut mana-mana lebih tinggi.

Pihak pendakwaan diketuai oleh Timbalan Pendakwa Raya SPRM Ahmad Akram Gharib, manakala Setiausaha Agung DAP itu diwakili peguam Gobind Singh Deo, Ramkarpal Singh, RSN. Rayer dan B. Vemal Arasan.

Mahkamah membenarkan kes rasuah yang dihadapi Guang Eng dipindahkan ke Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur untuk dibicarakan bersama dengan kes yang dihadapainya di mahkamah itu.

Mahkamah membenarkan Guan Eng diikat jamin mengguna pakai wang sama RM1 juta dalam kesnya di Mahkamah Kuala Lumpur.

Pada Jumaat lalu, beliau mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas pertuduhan meminta suapan daripada seorang pengarah syarikat berhubung Projek Pembinaan Jalan-jalan Utama dan Terowong Dasar Laut di Pulau Pinang.

Bagi pertuduhan itu, Guan Eng dibenar diikat jamin RM1 juta dibayar dua kali dengan dua penjamin selain pasport antarabangsa dan diplomatik diserahkan kepada mahkamah. Kes itu disebut semula pada 9 September ini.

Sebelum ini, pada September 2018, Mahkamah Tinggi Pulau Pinang melepas dan membebaskan Guan Eng daripada tuduhan rasuah berhubung pembelian sebuah lot tanah dan banglo serta ahli perniagaan Phang Li Koon daripada dakwaan bersubahat.

Keputusan itu dibuat berikutan permohonan pihak pendakwaan melalui representasi dikemukakan pihak pembelaan kepada Pejabat Peguam Negara untuk menggugurkan pertuduhan berkenaan. – K! ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI