fbpx

Sahabat sejati hadir ketika susah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
GAMBAR HIASAN
AZIMI MUSTAPHA, PENGARANG BERITA KOSMO.

 

BENARLAH kata orang, dalam dunia ini teman ketawa senang dicari, teman menangis sukar ditemui. 

Itulah resam dunia yang terjadi sendiri ke atas diri penulis ketika berstatus penganggur selama hampir tujuh bulan selepas syarikat media tempat mencari sesuap nasi untuk keluarga selama 22 tahun menutup operasi.

Penutupan operasi itu dibuat selepas syarikat bergelut dengan pelbagai kesukaran termasuk bebanan hutang yang banyak untuk terus bertahan dek persaingan sengit, terutamanya media sosial yang semakin ‘menggila’.

Bukan puluhan, malah ratusan orang kehilangan kerja dalam sekelip mata. Ketika itu, dunia terasa sempit, kehidupan semakin menghimpit, alam terasa gelap gelita bagai tiada harapan menemui sinaran di hujung terowong.

Pusing kepala memikirkan mana nak ‘cekau’ (cari) duit bayar hutang kereta, rumah, perbelanjaan barang dapur, duit persekolahan anak-anak dan banyak lagi.

Kawan-kawan di luar sana ramai, malah banyak yang berjawatan tinggi dalam sektor kerajaan atau swasta, tetapi terdetik dalam hati, ‘tak kan nak mengemis meminta simpati’. 

Kebanyakan mereka mengetahui status diri ini yang tiada pendapatan, namun tidak ramai bertanyakan khabar.

Apa yang membuatkan penulis tersentuh, ada seorang dua sahabat yang hidupnya tidak sesenang mana dengan rela hati ingin membantu dari segi kewangan. Permintaan itu ditolak dengan lembut.

Sebak rasanya apabila memikirkan di kala rakan-rakan lain yang lebih senang hidupnya hanya bertanya khabar dan ramai yang membisu, Allah melembutkan hati sahabat yang hidupnya agak susah tampil untuk membantu. 

Mereka bukan orang senang, mungkin kesusahan dan kesukaran dalam hidup membuatkan mereka terpanggil untuk membantu sekadar mampu. Betul lah kata-kata seorang guru penulis satu ketika dahulu bahawa hanya orang susah memahami kepayahan dialami insan lain.

Dalam bergelut dengan pelbagai kecamuk perasaan kerana tidak mempunyai pekerjaan untuk tempoh yang agak lama, keluargalah terutamanya pasangan hidup kita sebenarnya sahabat sejati di kala susah tanpa kita sedari. Oleh itu, hargailah keluarga kita sebaik mungkin.

 Penulis bernasib baik kerana isteri bekerja dan memahami apa yang berlaku, selain banyak membantu dari segi kewangan dan sokongan moral untuk terus mendaki tangga kehidupan dengan lebih berkeyakinan.

Dengan bantuan keluarga, penulis membuat pelbagai kerja termasuk menghadiri kursus untuk menjadi ejen hartanah, membuat perniagaan sejuk beku secara kecil-kecilan dan banyak lagi. Sekurang-kurangnya ini dapat mengurangkan sedikit tekanan kerana tidak berpendapatan tetap dan sekurang-kurangnya membantu ‘kantung’ keluarga biarpun tidak banyak.

Alhamdulillah, penulis amat bersyukur kerana tidak menjadi sebahagian daripada statistik keluarga  berantakan dan berakhir dengan perceraian disebabkan masalah ekonomi.

Ini ekoran ramai dibuang kerja ketika negara dilanda pandemik Covid-19 sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan selama tiga bulan bermula 18 Mac lalu.

Ramai yang diberhentikan kerana tempat mereka bekerja terpaksa menutup operasi selepas sektor tertentu terjejas teruk akibat pandemik tersebut.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI