fbpx

Kementerian Kesihatan sahkan hanya tiga negeri ada Kluster Sivagangga

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

Oleh DIYANATUL ATIQAH ZAKARYA

MELAKA – Kementerian Kesihatan mengesahkan hanya tiga negeri iaitu Kedah, Perlis dan Pulau Pinang yang merekodkan individu positif Covid-19 dari Kluster Sivagangga.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Adham Baba berkata, dua kes positif Covid-19 yang dikesan di Perak pada Khamis lalu bukan daripada kluster Sivagangga tetapi merupakan kes Penyakit Seperti Influenza (ILI), manakala satu kes dilaporkan di Selangor semalam masih dalam siasatan.

“Sehingga semalam, kita dapati Kluster Sivagangga telah menular di tiga kawasan di Kedah iaitu di Kubang Pasu, Padang Terap dan Kulim sebelum menular di Kuala Sanglang, Perlis.

“Terbaharu, Sungai Bakap di Pulau Pinang turut disahkan sebagai kawasan penularan wabak berkenaan.

“Bagi kes di Perak, pesakit datang bagi pemeriksaan ILI kerana selesema sebelum disahkan positif Covid-19, manakala di Selangor pula kita masih lagi meneruskan usaha mengesan sama ada ia berpunca daripada kluster Sivagangga atau sebaliknya,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri Majlis Penyerahan Klinik Kesihatan Jenis Dua (Delima) Batu Berendam di sini hari ini.

Tambahnya, pengunjung serta individu yang berurusan di restoran berkenaan digesa untuk segera melakukan saringan bagi mengelakkan wabak itu semakin menular.

“Orang ramai yang singgah membeli makanan bungkus di kedai itu juga perlu lakukan saringan. Kita berusaha mengatasi dan mengawal sepenuhnya wabak di kawasan yang disahkan mempunyai kluster berkenaan,” katanya. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI