fbpx

Empat beranak berteduh di bangsal pisang goreng

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Mek Som Kadir bersama suami dan dua anak tinggal di rumah bangsal menjual pisang goreng di Simpang Jalan Aring, Gua Musang sejak 22 tahun lalu

Oleh AIMUNI TUAN LAH

GUA MUSANG – Empat beranak hidup serba kekurangan apabila menjadikan sebuah rumah bangsal menjual pisang goreng di Simpang Jalan Aring di sini sebagai tempat berteduh sejak 22 tahun lalu.

Mek Som Kadir, 56, menggalas tugas sebagai ketua keluarga untuk mencari rezeki bagi menyara keluarga selepas suaminya, Kamaruzaman Mat Janal, 60, jatuh sakit sehingga terpaksa berhenti kerja sejak tahun lalu.

Pasangan itu turut tinggal di dalam bangsal itu bersama dua anak perempuan mereka iaitu Siti Norelyana,17, dan Siti Norelyani,16, yang bersekolah di Sekolah Menengah Kebangsaan Bandar Chiku di sini.

Menurut Mek Som, rumah bangsal itu boleh roboh menyembah bumi pada bila-bila masa kerana struktur kayunya yang tidak kukuh dan semakin mereput.

Katanya, dia tidak pernah merungut kerana rumah bangsal itu syurga buat diri dan keluarganya selepas tidak mampu untuk memiliki kediaman yang lebih selesa.

“Saya menjual pisang goreng, petai dan buah-buahan tempatan dengan pendapatan RM500 sebulan di dalam rumah ini

“Saya bersyukur apabila dua anak ringan tulang membantu berniaga dan tidak pernah mengeluh dengan keadaan tempat tinggal kami yang serba kekurangan,” katanya ketika ditemui Kosmo! baru-baru ini.

Menurut Mek Som, suaminya tidak dapat bekerja selepas disahkan menghidap penyakit paru-paru, kencing manis dan tibi.

Jelasnya, setakat ini, suaminya belum mendapat sebarang bantuan termasuk daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

Sementara itu, Pegawai Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) daerah, Hizani Ibrahim ketika dihubungi berkata, pihaknya belum menerima permohonan daripada pesakit warga emas terbabit.

Beliau berkata, pihaknya bersedia membantu orang yang memerlukan serta berharap keluarga berkenaan datang ke pejabat JKM daerah bagi membuat permohonan.

Orang ramai yang ingin menyalurkan bantuan boleh menghubungi Mek Som di talian 017-802 1656 atau menerusi nombor akaun Bank Islam milik suaminya, bernombor 03-063-02-019974-7. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI