fbpx
HUN HAQEEM

Wanita, karakter buruan Hun Haqeem

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

GUMPALAN awan berlatarkan langit biru yang jelas kelihatan dari aras 37 di Hotel Perdana Attana, di perut ibu kota sangat menyumbang kelancaran edisi Pose bersana Hun Haqeem tempoh hari.

Pertama kali bertentang mata dengan Hun atau pemilik nama sebenar Haqeem Hermy ‘dari’ Kampung People itu adalah, dia mudah ‘memberi’ untuk setiap permintaan, sama jawapan-jawapan daripada persoalan yang diutarakan, mahupun emosi dalam gerak tubuhnya.

Pengalamannya bertugas sebagai Pegawai Perhubungan Awam di sebuah syarikat media sebelum bergelar artis barangkali menjadi faktor pemudah. Dia pantas merantai kemesraan dengan sesiapa sahaja.

“Seronok juga bergambar konsep begini, rasa seperti artis Hollywood pula,” seloroh jejaka itu tanpa kekok beraksi persis model antarabangsa di depan lensa kamera milik Muhamad Iqbal Rosli.

HUN berharap suatu masa nanti dia akan ditawarkan membawa watak mualaf dan berlakon bawah arahan Erma Fatima. – MUHAMAD IQBAL ROSLI

 

Hun akui tidak senang untuknya memenuhi sesi fotografi sebegitu ekoran jadual seni sangat padat dan terikat dengan pengambaran drama.

Tidak terlalu bangga jauh sekali mendabik dada dengan kenyataan tersebut, si Jekfer Kampung People itu sebaliknya sangat bersyukur dengan rinai rezeki mencurah-curah ketika ini.

“Tidak pernah pula saya rasa bangga dengan populariti yang ada sekarang, malahan saya bersyukur dengan rezeki yang saya anggap tidak henti-henti ini.

“Biarpun baru bergelar pelakon selama dua tahun, saya terharu kerana ramai mula nampak bakat saya. Saya sedar bukan mudah untuk pelakon baharu menempa nama dan memegang watak utama dalam drama,” tuturnya kemas.

Menyelusuri impian masa depannya, pelakon berasal dari Kuching, Sarawak itu berkongsi cita-citanya yang ingin menjadi seorang pelakon hebat pada satu hari nanti.

Sedar cita-cita tersebut hadir bersama sepak terajang tanpa terduga, dia yakin dengan prinsip yang dipegangnya, mengutamakan kualiti berbanding populariti pasti akan membuahkan hasil satu hari nanti.

“Saya mahu pengarah atau penerbit menggunakan khidmat lakonan saya kerana percayakan kualiti yang mampu saya berikan dan bukan bersandarkan populariti atau wajah.

“Jadi, untuk realisasikan perkara tersebut, saya perlu memberi improvisasi dan nilai dalam setiap kerja lakonan selain tidak terlalu tamak dalam mengambil terlalu banyak tawaran berlakon dalam satu masa,” ujar pelakon yang gemar memasak masakan Cina itu.

 

TARIKAN. Hadir dengan wajah tampan persis aktor K-pop dengan pandangan mata yang mempesona, itu antara alasan untuk Hun Haqeem mudah mencuri pesona khalayak.

 

Menjadikan Alif Satar sebagai artis contoh dalam bidang seni, Hun juga bertekad mahu mengekalkan imej bersih sepanjang bergelar pelakon ketika ini.

“Bagi saya, tak perlu untuk mempunyai gosip panas atau kontroversi agar dikenali ramai. Lihat apa yang dilakukan Alif, dia tak pernah mempunyai cerita buruk namun kekal popular.

“Kalau saya terlalu mengejar kontroversi, itu bercanggah dengan prinsip kehidupan saya yang ingin bergelar pelakon berkualiti. Jadi bagi saya semua itu tak perlu,” tuturnya.

Ditanya tentang watak impian yang mahu dilakonkannya, Hun pantas menjawab: “Karakter mualaf, kerja bawah arahan Erma Fatima”.

Jelasnya, isu dan kisah golongan mualaf jarang diketengahkan. Jadi, dia teringin memegang watak sebegitu kerana mahu mendalami perasaan ingin menukar agama atau ketika mendapat hidayah Tuhan.

“Dengar seperti sukar? Tetapi itu yang saya impikan, lebih-lebih lagi jika kerja dengan Erma yang tidak perlu disangkal lagi kehebatannya dalam bidang pengarahan

“Saya mahu cabar diri dengan watak yang banyak bermain emosi. Kalau saya berjaya, watak itu bakal menjadi pencapaian peribadi tertinggi saya,” jelasnya berharap.

JIKA diberikan pilihan, Hun mahukan seorang wanita yang berhijab dan tidak kekok di dapur untuk dijadikan isterinya suatu hari nanti.

 

Jenama Jekfer

Biarpun sudah membintangi beberapa buah drama, Hun akur bahawa jenama Jekfer lebih kuat berbanding nama Hun Haqeem sendiri.

Akuinya, watak Jekfer memberi impak besar dalam kehidupan sehariannya hinggakan ada yang menyapa dan menjerit memanggilnya dengan nama tersebut.

Tidak terguris hati mahupun terkilan, Hun bahkan sangat berbangga kerana situasi sebegitu membuktikan kerja pasukan Kampung People berbekas dalam hati banyak orang.

Dikenali dengan nama watak atau nama sebenar, bukan perkara utama. Katanya, terpulang kepada peminat untuk menggelarnya dengan sebarang nama yang difikirkan selesa.

“Jujurnya saya tidak kisah pun jika orang panggil saya dengan nama Jekfer sebab itu membuktikan mereka ingat saya dalam drama tersebut, sedangkan Jekfer bukanlah pelakon utama dalam Kampung People.

“Itu juga menunjukkan watak Jekfer telah memberi impak kepada penonton. Paling seronok Kampung People musim pertama menjadi trending. Kami memang seronok dengan sambutan tersebut, jadi nantikan musim kedua pula ya,” katanya dengan nada teruja.

Hun yang kini sibuk menjalani pengambaran Kampung People 2 mendedahkan, kesinambungan drama tersebut dijangka lebih menyengat.

“Tekanan memang ada, sebab penonton telah meletakkan tanda aras yang tinggi untuk musim pertama tetapi apabila kami mulakan pengambaran, semua perasaan itu hilang kerana melihat jalan

cerita kali ini berbeza dan akan terdapat beberapa unsur kejutan.

“Saya tak boleh dedahkan banyak informasi tetapi yang pasti akan ada pertambahan beberapa watak yang mampu beri impak terhadap jalan cerita,” ujarnya.

Cinta, keluarga

Memasuki cerita tentang wanita dan keluarga, karakter bersahaja Hun tiba-tiba menjadi serius.

“Saya idamkan wanita berhijab sebab tidak mahu masuk neraka,” tutur pantas saat diaju soalan tentang ciri-ciri isteri idamannya.

Untuk diangkat sebagai isteri, seseorang wanita juga harus tidak kekok berada di dapur.

Sempat mengorek sisi cintanya, akui Hun, dia belum terikat atau menjalin hubungan dengan mana-mana wanita setakat ini.

“Bukan saya tidak mahu mencari tetapi rasanya saya ingin fokus terhadap kerjaya. Saya juga percaya dengan rezeki Allah SWT. Kalau jodoh saya awal, saya akan terima,” tersipu senyum di bibirnya menyembunyikan rasa malu.

Tambahnya: “Setiap lelaki pasti inginkan seorang teman hidup dan keluarga yang bahagia, sama juga seperti saya. Cuma, saya tidak mahu memberi tekanan kepada diri sendiri.

“Buat masa ini, biarlah jodoh datang dengan sendiri.”

Tidak terhenti di situ, nafasnya dihela panjang sambil menambah:

“Menarik juga jika dapat berkeluarga dalam tempoh lima tahun akan datang.

“Sekiranya jadi kenyataan, saya akan berusaha untuk menjadi seorang suami yang akan membimbing isteri dan anak-anak ke jalan yang direstui Allah SWT,” ujar Hun.

Muda, berbakat, punya pengaruh dan disenangi khalayak, itu semua pakej yang ada pada sosok Hun Haqeem. Momentumnya juga sedang melonjak, tinggal lagi, jalan pilihan Hun sahaja yang akan mencorak portfolio seninya.

Jekfer bukan watak utama dalam drama bersiri Kampung People, namun watak tersebut dianggap layak mengangkat jenama Hun Haqeem di mata peminat.
Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN