fbpx

Lima kereta, tiga rumah rosak dirempuh kren

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Keadaan sebuah rumah yang rosak selepas dirempuh kren di Taman Puncak Bukit Katil, Melaka hari ini.

Oleh DIYANATUL ATIQAH ZAKARYA

MELAKA – Sebanyak lima buah kereta dan tiga buah rumah rosak selepas dirempuh kren seberat 20 tan dalam kejadian di Taman Puncak Bukit Katil di sini hari ini.

Bagaimanapun tiada kecederaan dilaporkan dalam kejadian pada pukul 4 petang itu.

Menurut Ketua Cawangan Pengurusan Operasi Balai Bomba Melaka, Penguasa Bomba Zulkairani Ramli, pihaknya menerima panggilan pada pukul 5.25 petang.

Sebuah jentera bersama tiga pegawai dan 10 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Bukit Katil dikejarkan ke lokasi.

“Setibanya di lokasi, kita mendapati lima buah kenderaan dan tiga buah rumah dilanggar sebuah kren yang dipandu seorang lelaki berusia lingkungan 30-an,” katanya ketika ditemui di tempat kejadian.

Katanya, kemalangan dipercayai berlaku apabila jentera itu yang dalam perjalanan ke sebuah tapak pembinaan berdekatan mengalami kegagalan enjin.

“Ketika melalui jalan berbukit, kren itu mengalami kegagalan enjin lalu hilang kawalan dan menggelongsor ke bawah,” katanya.

 

Md. Ghauz menunjukkan bahagian hadapan rumahnya yang rosak dirempuh sebuah kren dalam kejadian di Taman Puncak Bukit Katil hari ini.

 

Sementara itu, seorang penduduk, Md. Ghauz Sudin, 59, berkata, dia bersyukur kesemua ahli keluarganya tidak berada di dalam rumah ketika kejadian kerana keluar bekerja dan urusan lain.

“Saya dan isteri keluar mengambil ubat dan membeli barang keperluan bagi menyambut Aidiladha, manakala anak-anak bekerja.

“Saya terkejut apabila dihubungi jiran yang memberitahu rumah dilanggar kren.

“Buat masa ini saya sekeluarga terpaksa melupakan hasrat untuk berhari raya,” katanya. – K! ONLINE

Habis.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI