fbpx

Empat anggota polis minta, terima rasuah didakwa

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
EMPAT anggota polis dibawa ke mahkamah atas tuduhan menerima rasuah di Mahkamah Seksyen Johor Bahru di sini hari ini. Foto RAJA JAAFAR ALI

 

JOHOR BAHRU – Empat anggota polis berpangkat rendah dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas dua pertuduhan meminta dan menerima rasuah dua tahun lalu.

Tertuduh, Konstabel Mohamad Zulhisham Zulkafli, 30; Koperal Mohd. Shahir Ahmad Dewi, 33; Koperal Muhammad Azim Muhammad Adnan, 34; dan Lans Koperal Mohamad Syukor Gulam Mohamed, 30, bagaimanapun mengaku tidak bersalah.

Mereka membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan dihadapan Hakim Kamarudin Kamsun.

Mengikut pertuduhan pertama, keempat-empat tertuduh didakwa meminta rasuah RM7,000 daripada seorang lelaki sebagai dorongan bagi melepaskan mangsa dan rakannya atas kesalahan memiliki dadah.

Perbuatan itu didakwa dilakukan mereka di dalam sebuah kereta semasa dalam perjalanan dari Balai Polis Kangkar Pulai ke Balai Polis Gelang Patah pada pukul 11 malam, 10 April 2018.

Mereka didakwa dibawah Seksyen 17(a)(B) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang boleh dihukum dibawah Seksyen 24(1) yang sama dibacakan bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.

Jika sabit kesalahan mereka boleh dikenakan hukuman penjara sehingga 20 tahun atau denda tidak kurang lima kali ganda daripada nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana-mana lebih tinggi.

Pertuduhan kedua pula, mereka didakwa menerima rasuah RM1,600 daripada seorang lelaki bagi melepaskan mangsa dan rakannya daripada ditahan akibat kesalahan memiliki dadah.

Mereka didakwa melakukan kesalahan itu di hadapan sebuah rumah di Kampung Baru Kangkar Pulai pada pukul 4 pagi, 11 April 2018.

Pertuduhan itu dijalankan mengikut Seksyen 17(a) akta yang sama yang boleh dihukum mengikut seksyen sama serta dibacakan bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan dan jika sabit kesalahan mereka boleh dikenakan hukuman yang sama.

Sementara itu, Mohd. Shahir menghadapi satu lagi pertuduhan iaitu meminta rasuah RM1,400 daripada mangsa dan dorongan yang sama.

Kesalahan itu dilakukan tertuduh di hadapan Restoran Nasi Kandar Seri Mutiara, No. 2 Jalan Meranti 2, Taman Sri Pulai di sini pada pukul 12.15 tengah malam, 12 April lalu.

Dia didakwa mengikut Seksyen 17(a) akta yang sama dan dibacakan bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan dan boleh dikenakan hukuman yang sama.

Kes dikendalikan Pegawai Pendakwa SPRM, Yunus Mohamed.

Tertuduh, Mohamad Zulhisham, Muhammad Azim dan Mohamad Syukor diwakili peguam bela, Mohd. Hamizi Mohd. Yusof manakala Mohd. Shahir diwakili peguam Nor Shahid Abd. Malik. -K! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI