fbpx
Mayat Mohd. Nazri dibawa turun dari dusun durian oleh anggota bomba dengan bantuan penduduk kampung di Baling hari ini.

Pegawai PPD maut dihempap pokok

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Oleh NORLIA RAMLI

BALING – Seorang Pegawai Pendidikan maut akibat dihempap pokok balik angin yang ditebangnya dalam kejadian di sebuah dusun durian di Kampung Masjid, Kuala Kuang di Kupang di sini hari ini.

Dalam kejadian kira-kira pukul 12 tengah hari itu, mangsa, Mohd. Nazri Haron, 50, yang bertugas di Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Kuala Muda meninggal dunia di tempat kejadian.

Ketua Polis Daerah Baling, Superintendan Syed Basri Syed Ali berkata, kejadian berlaku ketika mangsa sedang membersihkan kawasan dusun duriannya dengan menebang sebatang pokok di situ.

“Pokok balik angin tersebut bagaimanapun tiba-tiba tumbang dan menimpa mangsa,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Kata beliau, saksi yang berada berdekatan telah menghubungi Balai Bomba Dan Penyelamat Baling dan hospital untuk meminta bantuan.

“Pihak hospital yang tiba di tempat kejadian kemudian mengesahkan mangsa telah meninggal dunia,” ujarnya.

Tambahnya, mangsa berjaya dibawa keluar dari dusun yang terletak di kawasan bukit itu oleh anggota bomba.

“Mayat dihantar ke Hospital Kulim untuk dibedah siasat untuk mengetahui punca sebenar kematian,” katanya. – K! ONLINE