fbpx
MENGINJAK usia 69 tahun, M. Nasir membuktikan dedikasi dan komitmen yang tidak berbelah bahagi sedari album debut Untuk Pencinta Seni (1979) menjanjikan karier yang gemilang sebagai seorang seniman merentas zaman.

Buatlah 1,000 kali konsert M. Nasir, takkan pulang ‘kosong’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

BUKAN terlalu mengagung-agungkan figura bernama Datuk. M. Nasir (walaupun beliau selayaknya menerima pujian tersebut), namun penulisan ini hanyalah pendapat peribadi daripada seorang milenial selepas beberapa kali mengikuti siri konsert terbaharu individu kehormat seni itu.

Ternyata ada alasan kuat, mengapa jenama M. Nasir sentiasa disebut setiap kali sesiapa pun berbicara tentang keindahan seni muzik tanah air. Jawapannya bukan semata-mata kerana jumlah lagu hit yang dimiliki, tetapi kerana karya-karyanya terus bernyawa merentas zaman.

Konsert M.N47IR CIPTA 4 anjuran Icon Entertainment di Unifi Arena, Bukit Jalil minggu lalu bukan sekadar meraikan ulang tahun kelahirannya ke-69 tahun atau perjalanan hampir lima dekad dalam industri muzik. Acara berkenaan adalah sebuah penghormatan terhadap legasi yang tidak pernah luput ditelan masa.

Tiada gimik ‘murahan’

Sedari tirai persembahan dibuka, arena seolah-olah berada dalam genggaman M. Nasir. Penonton terus bagai dihipnosis. Hal ini kerana, kalau beliau melaksanakan persembahan secara langsung, kalau ada yang memandang ke arah lain, orang itu bodoh atau buta seni.

DENGAN katalog muzik yang cukup luas sebagai komposer dan penyanyi, ‘masalah’ utama M. Nasir dari sudut pandang peminat bukanlah lagu apa yang hendak didendangkan, tetapi sama ada beliau akan mendendangkan kesemua mahakaryanya.

Tanpa gimik berlebihan atau percikan teknologi yang melampau, beliau membuktikan bahawa seorang penghibur sebenar tidak memerlukan helah untuk memukau. Cukup dengan karisma, susunan muzik yang ampuh dan himpunan karya yang sudah menjadi sebahagian daripada memori rakyat Malaysia, itulah M. Nasir.

Hampir 40 lagu dipersembahkan sepanjang hampir tiga jam konsert berlangsung yang dibahagikan kepada empat segmen.

Menariknya, setiap karya diberikan nafas baharu tanpa menghilangkan identiti asal. Susunan muzik yang lebih segar menjadikan lagu-lagu malar segar seperti baharu dilahirkan, namun masih cukup akrab untuk dinyanyikan bersama ribuan penonton.

Apa yang paling menyerlah adalah bagaimana M. Nasir memahami kuasa kesederhanaan.

Beliau tidak banyak berbicara, malah tidak cuba mencipta momen-momen dramatik secara paksa. Sebaliknya, setiap kali gitar dipetik dan suara jantannya bergema, seluruh arena seakan-akan tunduk kepada magis yang sukar diterjemahkan dengan kata-kata.

AWIE merupakan penyanyi jemputan ‘rasmi’ di konsert Konsert M.N47IR CIPTA 4 mendendangkan dua buah lagu iaitu Ghazal Untuk Rabiah dan Istana Menanti yang merupakan ciptaan M. Nasir.

Kemunculan tetamu jemputan seperti Datuk Awie dan Melly Goeslaw menambah warna kepada persembahan. Namun, kejutan terbesar pastinya apabila Datuk Seri Siti Nurhaliza yang hadir sebagai penonton akhirnya memenuhi permintaan ribuan peminat untuk naik ke pentas mendendangkan lagu Bagaikan Sakti.

Momen spontan tersebut mencetuskan sorakan paling gemuruh malam itu, sekali gus menjadi hadiah yang tidak dijangka buat para penonton.

Lebih mengagumkan, konsert tersebut menyatukan pelbagai generasi.

Satukan peminat

Dalam satu ruang yang sama, anak muda, golongan dewasa dan peminat yang membesar bersama era Kembara menyanyikan setiap bait lagu tanpa perlu bergantung kepada paparan lirik.

Tidak perlu disertakan di sini untaian lagu didendangkan pada malam konsert. Tugas pendengar adalah beralih ke streaming platform, melipatgandakan jumlah streaming lagu-lagu beliau, kerana M. Nasir layak menerima layanan tersebut.

Kesemua ‘pemandangan’ itu menjadi bukti bahawa karya M. Nasir bukan sekadar popular, tetapi telah berkembang menjadi warisan budaya.

Diusik secara spontan di bangku penonton, Siti Nurhaliza sempat naik pentas menghiburkan audiens menerusi lagu ikonik, Bagaikan Sakti duet bersama sang genius muzik, M. Nasir.

Jika ada sedikit kelemahan, itu bukan pada aspek teknikal mahupun persembahan. Sebaliknya, katalog lagu M. Nasir yang terlalu luas menyebabkan ada karya yang pastinya diharapkan peminat tidak sempat dipersembahkan.

M.N47IR CIPTA 4 bukan konsert yang bergantung kepada nostalgia semata-mata, sebaliknya membuktikan bahawa muzik yang lahir daripada kejujuran sentiasa menemukan jalannya kepada pendengar, walaupun masa berevolusi.

Selepas hampir lima dekad berkarya, M. Nasir masih berdiri megah di atas pentas tanpa perlu mengejar relevansi. Sebaliknya, relevansi itulah yang terus mengejar kelibatnya.

Itulah bezanya seorang penyanyi dengan seorang legenda. Penulis sebagai seorang milenial mengangguk tanda setuju bahawa M. Nasir seorang seniman yang tiada hujung ganti.

Meski 1,000 persembahan berstatus konsert dijayakan, kalau ada kesempatan yang usia yang panjang, penulis semestinya akan ‘mencuri’ masa menghadirkan diri meski dibatasi kesibukan tuntutan harian. Panjang umurnya, Sifu! – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN