fbpx
Nur Atiqah gagal menahan kesedihan kehilangan anaknya sebelum ditenangkan ahli keluarga di Hospital Alor Gajah, Melaka semalam. Gambar - RASUL AZLI SAMAD

Teruja bertukar tragedi pilu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Oleh RIZANIZAM ABDUL HAMID

 

ALOR GAJAH – “Sejak dua hari lalu, anak begitu teruja hendak ke sekolah setelah hampir lima bulan bercuti tetapi tidak me­nyangka kegembiraannya ­ber­akhir tragedi pilu.”

Demikian luahan Nur Atiqah Saadin, 31, ibu kepada Nur Aqilah Husna, 9, yang meninggal dunia selepas motosikal dinaiki terlibat kemalangan membabitkan empat kenderaan di Jalan Panchor M17 berhampiran Jalan Maju, Kampung Panchor, Durian Tunggal di sini semalam.

Tiga kenderaan lain yang terlibat ialah sebuah kereta Proton Wira, kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Toyota Alphard dan sebuah lori tiga tan.

Dalam kejadian pukul 7.20 pagi itu, Nur Aqilah yang merupakan murid tahun tiga Sekolah Kebangsaan Parit Melana maut serta-merta di lokasi kejadian.

Dia dalam perjalanan ke sekolah menaiki motosikal ditunggang bapanya, Amirul Hussaini Muhammad, 33,.

 

NUR AQILAH

Jarak antara rumah mereka di Sri Pengkalan ke sekolah adalah 7 kilometer.

Nur Atiqah ketika ditemui berkata, dia terkilan tidak dapat bercakap dengan arwah anaknya ketika menghubungi bekas suaminya, Amirul, dua hari lalu lalu.

Menurutnya, sejak bercerai dengan Amirul, Nur Aqilah dan adiknya, Mohd. Ammar Darwish, 4, tinggal bersama bekas suami dan kali terakhir mereka bertemu ialah pada awal Mac lalu sebelum pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat.

“Saya tinggal di Tampin, ­Negeri Sembilan, namun hampir setiap hari kami berhubung melalui te­lefon. Bagaimanapun, malam tadi tidak sempat bercakap dengan arwah yang tidur awal kerana kerana terlalu teruja untuk ke sekolah hari ini (semalam).

“Saya terkilan kerana tidak dapat bercakap dengan arwah malam tadi tetapi reda dengan ketentuan Allah,” katanya ketika ditemui di Hospital Alor Gajah di sini semalam.
Nur Atiqah memberitahu, anaknya dikebumikan di Tanah Perkuburan Kampung Beringin di sini.

Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superinten­dan Arshad Abu berkata, ­siasatan awal mendapati pemandu Proton Wira berusia 28 tahun dalam perjalanan dari Pantai Belimbing menghala ke Melaka Pindah hilang kawalan lalu memasuki arah bertentangan.

“Kereta itu kemudian merempuh Toyota Alphard yang dipandu lelaki berusia 47 tahun dan sebuah lori yang berada di laluan sama.

“Lori itu kemudian terbabas sebelum menghimpit motosikal Honda EX5 ditunggang lelaki berusia 33 tahun bersama anak­nya yang berada di sebelah kende­raan berat itu,” ujarnya.

Menurutnya, akibat kejadian itu, kanak-kanak berkenaan terperosok ke bawah lori terbabit sebelum disahkan meninggal dunia, manakala bapanya cedera parah.

 

Keadaan motosikal jenis Honda EX5 yang terperosok dibawah lori selepas terlibat dalam kemalangan di Durian Tunggal semalam.

 

Katanya, pemandu kereta Proton Wira berusia 28 tahun mengalami cedera di bahagian kepala.

“Mayat mangsa kemudian dihantar ke Unit Forensik Hospital Alor Gajah untuk bedah siasat, manakala bapa mangsa dan pemandu Proton Wira dibawa ke hospital sama untuk rawatan lanjut,” jelasnya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. -K! ONLINE

POPULAR