PETALING JAYA – Beregu campuran negara, Jimmy Wong-Cheng Su Yin mencuri tumpuan apabila melakar kemenangan sensasi ke atas pasangan nombor satu dunia dari China, Feng Yan Zhe-Huang Dong Ping pada pusingan pertama Terbuka Singapura, hari ini.
Pada kejohanan kedua mereka digandingkan bersama, pasangan negara mempamerkan aksi penuh bertenaga sebelum mencatat kemenangan straight set 23-21, 21-16 dalam tempoh 43 minit.
Jimmy-Su Yin bagaimanapun terpaksa bekerja keras pada set pertama apabila ketinggalan sebelum bangkit menyamakan kedudukan 20-20 untuk mengheret permainan ke fasa genting.
Ketika tekanan semakin memuncak, smash deras Jimmy gagal dikawal Yan Zhe apabila pukulannya tersasar keluar sekali gus memberikan mata kemenangan set pertama kepada wakil negara.
Momentum itu diteruskan pada set kedua apabila Jimmy-Su Yin tampil lebih agresif untuk mendahului 9-3 dan menguasai rentak permainan.
Pasangan China cuba bangkit dengan merapatkan jurang mata sehingga kedudukan menjadi 19-16, namun ketenangan pasangan negara nyata menjadi pemisah pada saat penting.
Sekali lagi, smash tajam Jimmy menghadirkan masalah buat lawan apabila Yan Zhe melakukan kesilapan di depan jaring sebelum pasangan negara menoktahkan kemenangan bergaya.
Kejayaan tersebut dianggap kemenangan terbesar buat Jimmy-Su Yin setakat ini selepas mereka terkandas seawal pusingan pertama Masters Malaysia minggu lalu di tangan pasangan Denmark, Mathias Christiansen-Alexandra Boje.
Kemenangan itu sekali gus menyuntik keyakinan baharu buat beregu negara menjelang aksi pusingan kedua, sama ada menentang pasangan India, Rohan Kapoor-Gadde Ruthvika Shivani atau wakil Taiwan, Yang Po Hsuan-Hu Ling Fang. KOSMO! ONLINE














