fbpx
Gambar hiasan

3.6 juta orang muda ada penyakit

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KUALA LUMPUR – Seramai 3.6 juta atau 11 peratus daripada rakyat di negara ini yang disahkan menghidap penyakit berbahaya seperti diabetes, darah tinggi, kolestrol tinggi dan buah pinggang terdiri daripada golongan muda berusia antara 18 hingga 35 tahun.

Kementerian Kesihatan mendedahkan, antara punca utama golongan muda di negara ini terdedah kepada penyakit itu adalah disebabkan amalan gaya hidup yang tidak sihat seperti merokok serta pengambilan makanan berlemak tidak terkawal dan tinggi kandungan gula.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah mengakui kerajaan berasa risau dengan perkembangan itu kerana jumlah tersebut merangkumi 28.8 peratus daripada 12.5 juta rakyat di negara ini yang ber­umur 18 hingga 35 peratus.

“Situasi itu merisaukan kerajaan kerana beban penyakit tidak berjangkit (NCD) seperti diabetes, darah tinggi, kolestrol tinggi dan buah pinggang terus mening­kat,” katanya kepada Kosmo!.

Tambahnya, data Tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi 2019 (NHMS 2019) secara keseluruhan menunjukkan seramai 3.9 juta penduduk menghidap kencing manis dan daripada jumlah itu hampir 700,000 melibatkan golongan muda.

Menurut Noor Hisham, data NHMS 2019 juga menunjukkan 2,007,462 anak muda atau 21.3 peratus menghidap masalah kolestrol tinggi, manakala 10.1 peratus atau 953,745 orang berdepan penyakit darah tinggi.

“Data terkini daripada Pendaftaran Buah Pinggang Kebangsaan juga menunjukkan seramai 5,980 daripada 42,109 pesakit yang menjalani rawatan dialisis berusia di bawah 35 tahun,” katanya.
Ujar Noor Hisham, ia merupakan jumlah yang tinggi jika dibandingkan dengan beberapa negara lain.

Sementara itu, Pegawai Dietetik Kanan Pusat Pengajian Sains Malaysia, Universiti Sains Malaysia, Nor Elyana Awang mendakwa, gemar meminum minuman boba antara penyumbang utama masalah diabetes dalam kalangan golongan muda.

Boba ialah bebola ubi kayu kenyal berwarna hitam dan manis yang mengandungi lebihan gula dan tinggi kalori antara lapan hingga 20 sudu teh segelas. Berat gula bagi satu sudu teh bersamaan 5 gram.

“Minuman itu bukan sahaja mengandungi kandungan gula yang banyak, malah turut tinggi kalori kerana diperbuat daripada tepung ubi kayu selain direbus bersama gula perang.

“Segelas minuman boba dengan anggaran isi padu 500 mililiter mempunyai kira-kira 20 sudu teh gula atau bersamaan 100 gram menjadikan jumlah kalorinya kepada 400,” katanya.

Pensyarah Pusat Pengajian Pemakanan dan Dietetik Fakulti Sains Kesihatan, Universiti Teknologi Mara, Prof. Madya Dr. Norazmir Md. Nor menjelaskan, budaya makanan tular juga menyumbang kepada kemerosotan kesihatan orang muda.

“Meskipun tahu makanan itu banyak lemak dan perasa tambahan, anak muda begitu mudah terpengaruh,” ujarnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN