fbpx

Lelaki OKU cemas ditinggalkan lebih 12 jam di ladang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Pasukan mencari dan menyelamat berjaya menemui mangsa dalam keadaan lemah sebelum dibawa keluar menggunakan pengusung selepas dia ditinggalkan lebih 12 jam di kawasan ladang sawit di Jalan Loji Air, Bukit Temoh, Tapah semalam.

TAPAH – Seorang lelaki orang kelainan upaya (OKU) berhadapan detik-detik cemas apabila hilang selama lebih 12 jam di kawasan ladang sawit, Jalan Loji Air, Bukit Temoh di sini semalam.

Mangsa, M. Ganesan, 48, bagaimanapun lega selepas ditemui dalam keadaan lemah oleh pasukan mencari dan menyelamat kira-kira pada pukul 10 malam.

Ketua Polis Daerah Tapah, Superintendan Wan Azharuddin Wan Ismail berkata, operasi mencari dan menyelamat mangsa yang kudung tangan kanan itu segera dijalankan selepas menerima aduan daripada ibunya yang berusia 72 tahun.

“Maklumat awal yang polis terima, mangsa dibawa keluar dari rumahnya di Kampung Samy di sini pada pukul 9 pagi oleh seorang lelaki dengan menaiki pacuan empat roda dengan tujuan untuk minum minuman keras.

“Mangsa bagaimanapun ditinggalkan sendirian di ladang berkenaan selepas kenderaan dinaiki mereka tersangkut akibat jalan licin kerana hujan lebat,” katanya ketika dihubungi Kosmo! Online sebentar tadi.

Tambah Wan Azharuddin, lelaki berkenaan terpaksa meninggalkan mangsa lima kilometer dari jalan utama dan keluar dari ladang berkenaan untuk meminta bantuan.

“Berpandukan maklumat yang diterima daripada lelaki tersebut, pasukan mencari dan menyelamat berjaya menemui mangsa dalam keadaan lemah kerana tidak makan sejak awal pagi.

“Mangsa dibawa turun menggunakan pengusung dan dibawa ke Hospital Tapah untuk rawatan lanjut,” katanya.

Katanya, operasi yang disertai enam pegawai dan 26 anggota Polis Diraja Malaysia, Jabatan Bomba dan Penyelamat dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia itu tamat sepenuhnya pada pukul 1.15 pagi tadi. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI