Selepas memakai susuk demi mendapat kelebihan dalam kerjaya, Aziah sering diganggu kelibat wanita bertradisi Jawa yang kemudian mengganggu keluarganya. – ILUSTRASI SHAH HASAN

Diganggu wanita Jawa selepas pakai susuk naik pangkat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

DALAM kehidupan silam, apa yang dikejar oleh wanita itu pada awalnya hanyalah sedikit kelebihan dalam kerjaya.

Setelah bertahun-tahun bekerja keras, namun sering dipinggirkan, dia mula percaya bahawa usahanya sahaja tidak lagi mencukupi.

Bagi Aziah (bukan nama sebenar), dalam keadaan terdesak, seorang kenalan memperkenalkannya kepada seorang wanita tua yang dikatakan mampu ‘membuka jalan’ melalui pemakaian susuk.

Walaupun pada mulanya ragu-ragu, Aziah akhirnya akur kerana terlalu menginginkan pengaruh, dihormati rakan sekerja dan peluang kenaikan pangkat.

Menurutnya, proses itu berlangsung secara rahsia di sebuah rumah lama di sebuah kampung. Dia diminta menjalani beberapa pantang larang dan tidak dibenarkan menceritakan perkara tersebut kepada sesiapa, termasuk suaminya.

“Selepas selesai upacara berkenaan, saya pulang dengan harapan hidup akan berubah. Anehnya, perubahan itu berlaku jauh lebih pantas daripada yang dijangkakan.

“Rakan sekerja yang sebelum ini tidak mengendahkan saya tiba-tiba menjadi mesra. Pendapat saya sentiasa dipersetujui dalam mesyuarat, malah pihak pengurusan mula memberikan kepercayaan yang lebih besar kepada saya,” katanya kepada CitaRasa.

Tambahnya, dalam tempoh beberapa bulan, Aziah memperoleh jawatan yang selama ini diimpikan.

Namun, kegembiraan itu tidak bertahan lama. Sekitar beberapa minggu selepas memakai susuk, dia mula mengalami gangguan aneh setiap kali menjelang tengah malam.

Ketika membuka mata, dia mendakwa melihat seorang wanita berdiri di hujung katil. Sosok itu berpakaian tradisi Jawa lengkap dengan kain batik, kebaya lusuh dan sanggul yang dihiasi bunga melur yang sudah layu.

Wajahnya pucat, matanya redup tetapi tajam, seolah-olah sedang memerhatikan setiap gerak-geri Aziah tanpa berkedip.

Pada mulanya Aziah menganggap ia sekadar mimpi. Namun kejadian sama berulang hampir setiap malam.

“Adakalanya wanita itu hanya berdiri kaku di penjuru bilik, manakala pada malam-malam tertentu, malah saya terdengar bunyi langkah perlahan mengelilingi katil disusuli bau bunga yang bercampur bau tanah lembap.

“Ketakutan mula menghantui hidup saya sehingga sukar melelapkan mata dan gangguan tersebut sedikit demi sedikit mula meresap ke dalam kehidupan keluarga,” ujarnya.

Katanya lagi, rumah tangga yang sebelum ini harmoni bertukar menjadi dingin. Perkara-perkara kecil sering mencetuskan pertengkaran besar antara Aziah dan suaminya.

Anak-anak pula semakin pendiam dan enggan berada lama di rumah. Menurut Aziah, suasana kediaman mereka berubah menjadi suram seolah-olah ada sesuatu yang tidak kelihatan sedang memerhati dari setiap sudut rumah.

Perkara yang paling mengganggu ialah pengakuan suaminya. Setiap kali mereka ingin bermesra sebagai suami isteri, lelaki itu tiba-tiba menghidu bau busuk yang sukar digambarkan.

“Bau itu, katanya, seperti bangkai yang sudah lama reput sehingga menyebabkan dia berasa loya dan tidak mampu mendekati saya.

“Pelbagai pemeriksaan kesihatan dilakukan, malah kami turut mendapatkan nasihat doktor, namun semuanya menunjukkan keadaan kami normal. Anehnya, bau tersebut hanya muncul pada waktu-waktu tertentu dan hanya dirasai oleh suami saya,” kongsinya.

Ujarnya lagi, hubungan mereka semakin renggang sehingga masing-masing mula berbincang tentang perceraian.

Aziah mengakui ketika itu dia berasa seperti kehilangan dirinya sendiri. Walaupun kerjayanya semakin cemerlang dan dihormati ramai, kehidupan peribadinya runtuh sedikit demi sedikit.

Dalam keadaan tertekan, Aziah akhirnya menceritakan segala-galanya kepada seorang ahli keluarga yang kemudian membawanya mendapatkan bantuan daripada seorang ustaz.

Selepas mendengar kisah tersebut, ustaz berkenaan menasihatinya supaya segera bertaubat, meninggalkan amalan yang bercanggah dengan ajaran agama dan berusaha membuang susuk tersebut mengikut kaedah yang sesuai.

Proses itu, menurut Aziah, bukan mudah. Dia mendakwa alami demam berpanjangan, mimpi yang menakutkan dan gangguan emosi selama beberapa hari sebelum kembali pulih.

“Selepas susuk itu dibuang, gangguan yang saya alami semakin berkurangan. Kelibat wanita berpakaian Jawa tidak lagi muncul, manakala bau busuk yang menghantui suami turut hilang sedikit demi sedikit,” ujarnya yang bersyukur rumah tangganya terselamat.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN