LARUT – Seorang lelaki dipercayai penagih dadah maut ditembak selepas menyerang anggota keselamatan menggunakan parang ketika cuba ditahan di sebuah pondok dusun buah-buahan di Kampung Kelian Gunung Ijok, Batu Kurau di sini semalam.
Kejadian berlaku pada pukul 8.20 pagi selepas pihak berkuasa menerima maklumat mengenai lokasi persembunyian suspek sebelum sepasukan anggota Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Selama diketuai Inspektor B. Thanabalan digerakkan untuk membuat tangkapan.
Menurut Ketua Polis Perak, Datuk Mohd. Alwi Zainal Abidin, anggotanya cuba menghampiri suspek yang berada di bawah pondok, sebelum lelaki itu mengambil sebilah parang.
“Suspek kemudian meluru dan cuba menetak anggota polis. Bagi mempertahankan diri, anggota terpaksa melepaskan satu das tembakan menyebabkan kaki suspek cedera sebelum dia rebah.
“Suspek bagaimanapun masih melawan ketika ditahan sehingga berlaku pergelutan sebelum parang dirampas,” katanya pada sidang akhbar di IPD Selama di sini hari ini.
Beliau berkata, suspek diberikan rawatan oleh pasukan perubatan Hospital Daerah Selama, sebelum disahkan meninggal dunia di lokasi kira-kira pukul 9.20 pagi.
Bedah siasat dijalankan di Hospital Taiping, namun keputusannya masih belum diperoleh. Semakan mendapati suspek memiliki tiga rekod jenayah dan tujuh rekod dadah.
Katanya, suspek sebelum ini dipercayai menyerang dua anggota polis menggunakan pisau ketika operasi tangkapan penagih dadah di Kampung Sungai Jernih, Ijok, Batu Kurau pada 23 Jun lalu.
“Serangan itu menyebabkan anggota berusia 44 tahun cedera di kepala, perut dan tangan kiri. Seorang lagi anggota berusia 27 tahun cedera di dahi, bawah mata hingga pipi, tangan kanan serta siku.
“Kedua-dua anggota polis itu menerima rawatan di Hospital Taiping selama tiga hari. Suspek pula melarikan diri sebelum dikesan semalam,” katanya.
Kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana cubaan membunuh. – KOSMO! ONLINE
















