fbpx
KEADAAN kemalangan melibatkan tiga buah motosikal berkuasa tinggi dan Toyota Vellfire di Kilometer 44.6 Lebuh Raya Utara Selatan (PLUS) arah selatan, Kulai petang tadi. Foto IHSAN POLIS

Lelaki Singapura maut, motosikal berkuasa tinggi sondol Vellfire

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KULAI – Seorang lelaki warga Singapura maut selepas motosikal berkuasa tinggi yang ditunggang merempuh bahagian belakang sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Toyota Vellfire dalam kemalangan di Kilometer 44.6 Lebuh Raya Utara-Selatan (PLUS) arah selatan, petang tadi.

Dalam kejadian kira-kira pukul 2.05 petang itu, mangsa berusia 56 tahun disahkan meninggal dunia di lokasi akibat kecederaan parah selepas motosikalnya terbabit dalam kemalangan yang turut melibatkan dua lagi motosikal berkuasa tinggi.

Ketua Polis Daerah Kulai, Asisten Komisioner Tan Seng Lee berkata, siasatan awal mendapati tiga motosikal berkuasa tinggi tersebut sedang bergerak dari arah utara menuju ke Johor Bahru sebelum dipercayai hilang kawalan lalu merempuh bahagian belakang sebuah Toyota Vellfire.

Menurut beliau, MPV itu dipandu seorang wanita warga Singapura berusia 32 tahun yang turut berada di laluan sama ketika kejadian berlaku.

“Akibat kemalangan itu, penunggang motosikal berusia 56 tahun mengalami kecederaan parah dan disahkan meninggal dunia oleh pasukan perubatan di lokasi kejadian.

“Seorang lagi penunggang motosikal berusia 39 tahun mengalami patah paha kanan, manakala seorang lagi penunggang berusia 57 tahun hanya cedera ringan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, kedua-dua mangsa yang cedera telah dihantar ke Hospital Kulai untuk menerima rawatan lanjut.

Tambahnya, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu secara melulu atau berbahaya sehingga menyebabkan kematian.-KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN