GEORGE TOWN – Kelekaan sekumpulan tiga lelaki menjalankan aktiviti penangkapan ikan menggunakan rawai cakar akhirnya memakan diri apabila mereka ditahan pasukan Maritim Malaysia di perairan Pulau Tikus di sini, semalam.
Pengarahnya, Kepten Maritim Muhammad Suffi Mohd. Ramli berkata, operasi dijalankan selepas pihaknya menerima aduan menerusi sistem FISHCOM membabitkan sebuah bot gentian kaca, kira-kira pukul 12.30 tengah hari.
Menurutnya, bot berkenaan berjaya dikesan pada kedudukan kira-kira 0.1 batu nautika di Timur Laut Pulau Tikus, pada pukul 2.15 petang.
“Pemeriksaan lanjut mendapati bot yang tidak mempunyai nombor pendaftaran itu dikendalikan oleh tiga kru warga tempatan.
“Mereka disyaki melakukan kesalahan mengikut Seksyen 8(a) kerana tidak memiliki lesen yang sah serta Seksyen 26 kerana menjalankan aktiviti penangkapan ikan menggunakan cara atau peralatan yang dilarang iaitu rawai cakar,” katanya di sini, hari ini.
Beliau memberitahu, ketiga-tiga lelaki berkenaan telah ditahan manakala bot diiringi ke Jeti Pasukan Polis Marin (PPM) Batu Uban sebelum diserahkan kepada Pegawai Penyiasat Ibu Pejabat Maritim Negeri untuk tindakan dan siasatan lanjut. -KOSMO! ONLINE
Habis//














