PETALING JAYA – Pelakon dan aktivis kemanusiaan, Hazwani Helmi berpendapat status bujang pada usia lewat 20-an bukan sesuatu memalukan, apatah lagi dijadikan ukuran nilai atau kebahagiaan seorang wanita.
Ujar Hazwani atau nama sebenarnya Nur Hazwani Afiqah Helmi, 29, wanita tidak seharusnya berasa rendah diri hanya kerana belum bertemu jodoh, sebaliknya perlu menghargai kehidupan sebelum melangkah ke fasa perkahwinan.
“Saya berusia 29 tahun dan masih bujang. Umur bukan penentu nilai seorang wanita, malah berkahwin awal juga bukan ukuran kebahagiaan.
“Saya selalu dengar kawan yang sudah berkahwin cakap, ‘nikmatilah kehidupan bujang selagi masih ada,’” katanya dalam Threads.
Tambah pelakon filem Pendekar Awang: Darah Indera Gajah, perkahwinan turut hadir bersama tanggungjawab serta pengorbanan besar, termasuk masa untuk diri sendiri dan kebebasan membuat keputusan.
Tegasnya, pasangan tepat tidak akan menjadikan faktor usia sebagai kelemahan, sebaliknya lebih melihat keperibadian, akhlak dan hati seseorang.
“Bila dah berkahwin nanti, banyak perkara perlu dikorbankan seperti masa untuk diri sendiri. Ada keputusan kita tak boleh lagi buat sesuka hati.
“Orang yang tepat takkan lihat umur sebagai kelemahan. Dia akan lihat akhlak dan hati. Yakinlah, Allah sudah aturkan yang terbaik untuk setiap orang,” jelasnya.
Hazwani berkata demikian sebagai respon terhadap perkongsian seorang wanita berusia 29 tahun dalam Threads meluahkan kesedihan selepas menerima kata-kata seorang lelaki mengenai status perkahwinannya.
Wanita tersebut mengakui berasa sangat terkesan apabila usia semakin meningkat tetapi masih belum dipertemukan jodoh.
Perkongsian itu mengundang simpati dalam kalangan netizen, malah ramai menganggap kenyataan berkaitan usia dan jodoh seharusnya dihentikan kerana boleh memberi tekanan emosi kepada individu masih belum berkahwin. – KOSMO! ONLINE.














