PETALING JAYA – Baru satu episod ditayangkan, drama terbaharu terbitan Astro, Bulan Henti Bicara mula mencetuskan fenomena dan menjadi bualan hangat dalam kalangan penonton.
Karya berkenaan disifatkan memulakan langkah kanan apabila rata-rata netizen mengakui jalan cerita yang dibawakan berjaya menyentuh emosi serta jiwa penonton seawal babak pertama lagi.
Antara yang paling mencuri tumpuan adalah persembahan mantap pelakon Azhan Rani yang memegang watak sebagai Jamali.
Kehebatan daya penyampaian watak tersebut berjaya membangkitkan rasa benci serta geram dalam kalangan penonton.
“Kalau dah Azhan Rani pegang watak macam ni, memang automatik kita menyampah!” ujar penonton.
Dalam pada itu, persembahan Ezzanie Jasny yang memegang watak Zulfa turut meraih pujian ramai berikutan penghayatan watak yang cukup berkesan.
Ramai meluahkan rasa simpati terhadap penderitaan dan pengorbanan Zulfa yang sanggup mengenepikan kebahagiaan diri demi keluarga, sehingga ada yang mengakui episod pertama sahaja sudah cukup membuatkan air mata mereka menitis.
Sementara itu, kemunculan pelakon Azar Azmi menerusi watak Faziah semestinya menjadi antara detik yang paling ditunggu-tunggu selepas hampir tujuh tahun menyepi daripada dunia lakonan.
Selain kehebatan barisan pelakon, rata-rata penonton menyifatkan plot drama terbabit sangat dekat dengan realiti kehidupan masyarakat hari ini.
Isu pengorbanan seorang anak, kasih sayang sesama ahli keluarga, serta penderitaan yang dilalui seorang wanita membuatkan ramai penonton mengimbau kembali pengalaman hidup masing-masing.
Melihat kepada impak positif episod pengenalan ini, ramai mula meramalkan konflik antara Zulfa, Jamali, Faziah dan Afghan bakal menjadi topik hangat sepanjang tempoh tayangannya.
Drama arahan Eyra Rahman itu dibintangi Ezzanie Jasny, Azhan Rani, Azar Azmi, Ali Reza, Hushairi Husain, Farah Ahmad, Azri Iskandar, Qireen Din, Myra Afrina, Qaseh Izwandy, Qaiyum Aiesha dan Nik Ramly. – KOSMO! ONLINE














