KUALA LUMPUR – Beregu campuran negara, Chen Tang Jie-Clarissa San meneruskan cabaran pada Kejohanan Badminton Terbuka Taiwan apabila berjaya melangkah ke pusingan kedua.
Pada aksi pusingan pertama yang berlangsung di Taipei Arena sebentar tadi, Tang Jie-Clarissa dipaksa bekerja keras sebelum menang 21-19, 18-21, 22-20 ke atas Renaldi Samosir-Masita Mahmudin dari Indonesia.
Memandangkan kedua-dua pasangan tidak pernah bertemu sebelum ini, perlawanan berlangsung cukup sengit apabila jurang mata yang memisahkan kedudukan mereka tidak terlalu besar.
Walaupun diberikan tentangan sengit, namun Tang Jie-Clarissa mengekalkan fokus sepanjang permainan dan berjaya memenangi set pertama dengan keputusan 21-19.
Bersambung set kedua, beregu negara berpeluang untuk memenangi perlawanan dengan keputusan straight-set ketika mendahului 18-16, namun sedikit kelekaan memakan diri apabila Renaldi-Masita mengutip lima mata berturut-turut sebelum menang 21-18.
Memasuki set penentuan, skrip sama kembali berulang apabila Tang Jie-Clarissa membenarkan pemain lawan mengutip mata demi mata sehingga berjaya menyamakan kedudukan 19-19 walaupun pada awalnya sudah mendahului 19-16.
Bagaimanapun, kali ini mereka berjaya mengekalkan fokus walaupun diheret bermain dalam penentuan ‘deuce’ sebelum mengesahkan kemaraan ke pusingan kedua dengan kemenangan 22-20.
Sementara itu, nasib berbeza dialami satu lagi beregu campuran negara, Jimmy Wong-Cheng Su Yin apabila terkandas di pusingan pertama selepas tewas 5-21, 17-21 kepada pasangan Jepun, Yuta Watanabe-Maya Taguchi. – KOSMO! ONLINE














