fbpx
Hannah (tengah) bersama Fadlun (empat kiri) bergambar bersama penerima surat tawaran rumah dan premis perniagaan ketika melakukan lawatan pada sesi turun padang di PPR Seri Pantai hari ini. Foto oleh FARIZ RUSADIO/ KOSMO!

Permintaan PPR KL masih tinggi, 3,000 dalam senarai menunggu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KUALA LUMPUR – Kira-kira 3,000 pemohon masih berada dalam senarai menunggu untuk mendapatkan kediaman Projek Perumahan Rakyat (PPR) di bawah Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Hannah Yeoh berkata, permohonan akan diproses mengikut giliran dan pemohon yang memenuhi syarat ditetapkan.

“Senarai memang panjang, kira-kira 3,000 orang. Kita ikut permohonan, bila permohonan masuk kita akan proses. Yang dahulu kita utamakan seperti biasa dan mereka juga perlu memenuhi kriteria yang ditetapkan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas selesai mengadakan lawatan pada sesi turun padang yang turut dihadiri Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Fadlun Mak Ujud di PPR Seri Pantai, di sini hari ini.

Menurut Hannah, DBKL turut memperuntukkan sebahagian unit PPR kepada anggota polis dan bomba bagi mewujudkan kehadiran pihak berkuasa dalam komuniti termasuk unit simpanan untuk kes kecemasan seperti mangsa kebakaran dan keluarga yang memerlukan.

Dalam perkembangan sama, beliau berkata, kerajaan memperuntukkan RM300 juta bagi kerja-kerja menaik taraf semua 64 PPR dan Perumahan Awam (PPA) di Kuala Lumpur secara berperingkat.

Katanya, daripada jumlah itu, PPR Seri Pantai menerima peruntukan RM2.59 juta melibatkan kerja turapan jalan, naik taraf taman permainan, bahagian dalaman lif, sistem pencegahan kebakaran, pam air serta pencahayaan.

“Hari ini kita umumkan kerja-kerja yang telah siap di PPR Seri Pantai bagi memastikan penduduk dan keluarga mempunyai tempat tinggal yang lebih selesa serta keperluan asas mereka dijaga dengan baik,” katanya.

Pada masa sama, DBKL turut menyerahkan surat tawaran rumah PPR kepada 29 penerima baharu kediaman PPR serta 40 surat tawaran lesen perniagaan.

Menurutnya, semua peruntukan naik taraf diagihkan berdasarkan keperluan sesuatu kawasan dan bukannya mengikut kawasan Parlimen.

“Kita tengok ikut keperluan. Bila siap kita akan umumkan supaya rakyat tahu dan kita turut paparkan pecahan perbelanjaan supaya penduduk boleh melihat sendiri bagaimana wang rakyat dibelanjakan,” katanya.

Mengulas lanjut, Hannah berkata, usaha membantu golongan miskin bandar akan diteruskan tanpa mengira kaum.

“Isu kemiskinan bandar, kita tidak kira Melayu, Cina, India, Kadazan atau kaum lain. Bila kita jaga Kuala Lumpur, kita bantu semua yang memerlukan,” jelasnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN