LONDON – Bintang baharu Aston Villa, Alejandro Garnacho tidak menganggap penghijrahannya ke Villa Park dari Chelsea sebagai langkah ke belakang.
Sebaliknya, Garnacho melihat ia sebagai titik mula kedua buat kariernya selepas berdepan kesukaran ketika menyarung dua lagi kelab gergasi England, Manchester United dan The Blues.
Malah, Garnacho juga melihat penyertaan Aston Villa di pentas Liga Juara-Juara akan membuka ruang buatnya untuk kembali menempa nama dan mengembalikan semula prestasi terbaiknya.
“Penting untuk bermain di pertandingan Eropah dan saya juga mencari kelab yang mampu memberikan keyakinan untuk menjadi pemain sama seperti apa yang pernah saya tunjukkan pada tahun pertama di Manchester United.
“Sebelum datang ke Aston Villa, saya sudah bercakap dengan Unai (Emery) dan dia berikan keyakinan kepada saya. Saya lihat kejayaan mereka di Liga Europa musim lalu dan selepas ini akan bertanding di Liga Juara-Juara,” katanya.
Kerjaya Garnacho merudum sejak 18 bulan lalu, bermula dengan perselisihan dengan Ruben Amorim (bekas pengurus Manchester United) dan turut bergelut mendapatkan tempat bersama Chelsea di bawah kendalian Enzo Maresca dan Liam Rosenior.
Sebelum ini, Garnacho yang turut mendapat perhatian daripada beberapa pasukan Eropah dan kelab Arab Saudi menyatakan keputusannya berhijrah ke Aston Villa adalah disebabkan tidak mendapat jaminan bakal berada dalam kesebelasan utama The Blues. – AGENSI














