PASIR PUTEH – Dua premis yang menjalankan aktiviti penjualan produk dan peralatan vape dikenakan kompaun dalam Operasi Bersepadu Pemeriksaan Premis Perniagaan yang dijalankan Majlis Daerah Pasir Puteh (MDPP) di sini semalam.
Yang Dipertua MDPP, Kamaruzaman Ab. Wahab berkata, operasi itu turut melibatkan kerjasama Ibu Pejabat Polis Daerah Pasir Puteh dan Kementerian Kesihatan KKM dengan kekuatan seramai 27 anggota.
Katanya, hasil pemeriksaan mendapati kedua-dua premis berkenaan menjalankan aktiviti penjualan produk vape tanpa memiliki lesen perniagaan yang sah.
“Kedua-dua pemilik premis dikenakan kompaun, manakala semua peralatan vape yang dijual disita oleh Jabatan Penguatkuasaan MDPP.
“MDPP tidak pernah mengeluarkan lesen perniagaan bagi penjualan produk dan peralatan vape di seluruh kawasan pentadbiran Pasir Puteh selaras dengan dasar kerajaan negeri Kelantan yang melarang penjualan produk berkenaan,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Kamaruzaman memberitahu, operasi bersepadu tersebut bertujuan memastikan semua premis mematuhi undang-undang, membanteras aktiviti perniagaan yang melanggar syarat ditetapkan demi melindungi kepentingan dan kesihatan awam.
“Kita bimbang terhadap trend penyalahgunaan peranti rokok elektronik sebagai medium untuk menyedut bahan terlarang termasuk dadah sintetik. Peranti vape boleh dimanipulasi untuk penggunaan dadah berbahaya yang bukan sahaja menjejaskan kesihatan, malah meningkatkan risiko ketagihan terutama dalam kalangan remaja,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE














