KUALA LUMPUR – Malaysia sehingga kini masih belum mempunyai pengiktirafan rasmi terhadap mana-mana buah sebagai buah kebangsaan.
Ia berbeza dengan beberapa negara lain, yang telah pun menetapkan identiti buah negara masing-masing sebagai sebahagian daripada strategi penjenamaan nasional.
Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Chan Foong Hin berkata, setakat ini Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) menerima cadangan daripada Persatuan Pengilang Durian dan Lembaga Perindustrian Nanas untuk menjadikan nanas sebagai buah kebangsaan.
Bagaimanapun menurut beliau, memandangkan terdapat lebih daripada satu cadangan, proses pemilihan perlu dilaksanakan secara objektif dan berasaskan data dengan melibatkan pandangan rakyat.
“KPKM mencadangkan supaya Jabatan Perangkaan (DOSM) melaksanakan satu bancian di peringkat nasional bagi mendapatkan pandangan rakyat mengenai buah yang paling sesuai diangkat sebagai buah kebangsaan Malaysia.
“Pendekatan ini selaras dengan amalan tadbir urus kerajaan yang berasaskan bukti (evidence-based policy making) dan memastikan keputusan dibuat benar-benar mencerminkan aspirasi rakyat,” katanya pada sidang Dewan Negara, di sini hari ini.
Beliau berkata demikian menjawab soalan Senator Datuk Wu Him Ven berhubung status terkini dan pendirian rasmi kerajaan berhubung penetapan buah kebangsaan Malaysia.
Foong Hin menjelaskan, KPKM tidak membuat keputusan untuk memilih mana-mana buah sebagai buah kebangsaan, sebaliknya hanya mengemukakan cadangan supaya proses pemilihan dilaksanakan secara telus, inklusif dan berasaskan data.
“Sebarang keputusan kerajaan akan dibuat selepas mengambil kira dapatan bancian yang dilaksanakan oleh DOSM serta pertimbangan Jemaah Menteri.
“KPKM berharap pendekatan ini dapat memastikan penentuan buah kebangsaan Malaysia dibuat secara objektif, mendapat penerimaan rakyat dan seterusnya menyumbang kepada pengukuhan identiti negara serta pembangunan sektor agromakanan secara lebih strategik,” ujarnya. KOSMO! ONLINE














