fbpx
NOR AZMAN (tengah) mahu pengundi tidak terpengaruh dengan naratif perkauman yang dijadikan modal politik oleh pihak lawan sebaliknya melihat prestasi pentadbiran PH.

Rakyat boleh nilai prestasi saya – Nor Azman

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

SEREMBAN – Calon Pakatan Harapan (PH), Nor Azman Mohamad mahu pengundi menilai prestasi kerja dirinya serta pentadbiran PH dan tidak terpe­ngaruh dengan naratif perkauman yang dijadikan modal politik oleh pihak lawan.

Beliau yang juga calon Dewan Undangan Negeri (DUN) Sikamat berkata, sentimen yang dimainkan pihak lawan hanya bertujuan menakutkan pengundi dan dibangkitkan bagi mengalih perhatian rakyat.

“Bagi saya isu perkauman se­perti ini tidak boleh lagi dijadikan modal dalam pilihan raya, mari kita bertembung dengan hujah, manifesto dan prestasi.

“Bersikap matanglah, modal politik perkauman hanya boleh diterima oleh mereka yang dang­kal,” katanya ketika ditemui selepas berkempen di sekitar Sikamat di sini.

Jelas beliau yang mesra disapa Ustaz Azman, kempen pilihan raya sepatutnya tertumpu kepada penyelesaian terhadap isu rakyat dan bukannya memecahkan perpaduan masyarakat maj­muk di negara ini.

Malah, beliau menyelar naratif dibangkitkan pihak lawan seolah-olah mengundi PH bermaksud tidak menyokong orang Melayu dan Islam.

Beliau yang menetap lebih 18 tahun di Sikamat berkata, dak­waan itu tidak berasas atas faktor PH meletakkan calon Mela­yu beragama Islam di semua ka­wasan majoriti Melayu pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan ke-16 ini.

“Pembahagian komposisi ke­rusi oleh parti komponen PH mengambil kira asas yang mana kerusi MCA dan MIC akan ditan­dingi calon DAP dalam kalangan Cina dan India.

“Saya tidak nampak ada kawasan majoriti Melayu yang diserahkan kepada calon bukan Melayu seperti yang didakwa,” ujarnya.

Beliau turut mencabar Perikatan Nasional (PN) supaya membentangkan pencapaian terbaik kerajaan negeri yang ditadbir gabungan itu, merangkumi empat negeri iaitu Kelantan, Terengganu, Kedah dan Perlis yang se­ring dirujuk sebagai SG4.

“Kalau negeri-negeri PN benar-benar berjaya, bentangkanlah pencapaian mereka supaya rakyat Negeri Sembilan boleh menilai.

“Kalau Barisan Nasio­nal pula mahu berhujah, bawalah prestasi kerajaan negeri yang mereka tadbir seperti Johor,” katanya.

Ditanya mengenai cabaran ber­depan calon lawan yang berpengaruh, Nor Azman berkata, be­liau memilih untuk membe­ri tumpuan kepada kekuatan sendiri tanpa memandang rendah kemampuan calon lawan.

“Saya tidak nafikan setiap per­tandingan ada cabarannya, mungkin kelebihan saya kerana telah lama tinggal di Sikamat dan sering memangku tugas Datuk Seri Aminuddin Harun sebagai Ahli

Dewan Undangan Negeri (ADUN) di sini sebelum ini,” katanya.

Pada PRN 2023, Aminuddin berjaya mempertahankan DUN Sikamat yang disandangnya sejak 2015 dengan majoriti 2,662 undi selepas meraih 12,730 undi, mengatasi calon PN dan dua ca­lon Bebas.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN