fbpx
NORRIS meraih kemenangan pertama musim ini selepas muncul juara pada GP Hungary kelmarin. - AFP

F1: Norris akhiri badi kemenangan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

BUDAPEST – Juara dunia Formula Satu (F1), Lando Norris akhirnya memecahkan kebuntuan kemenangan musim ini apabila mempamerkan aksi cukup dominan untuk menjuarai Grand Prix (GP) Hungary sekali gus menghadiahkan kemenangan sulung 2026 buat McLaren.

Norris yang memulakan perlumbaan di petak utama menamatkan saingan dengan masa 1 jam 39 minit 56.180 saat untuk menewaskan pelumba Red Bull, Max Verstappen yang ketinggalan 15.080 saat, manakala pelumba Mercedes, Kimi Antonelli melengkapkan kedudukan podium.

Kemenangan itu hadir selepas Norris mengharungi permulaan musim yang sukar, namun pakej naik taraf dibawa McLaren di Litar Hungaroring nyata memberikan kelebihan besar apabila pelumba Britain itu menguasai perlumbaan sebaik kembali mendahului.

“Saya rasa ini antara persembahan terbaik yang pernah saya lakukan. Saya tahu kelajuan kami sangat baik dan saya hanya perlu kekal tenang serta memanfaatkan peluang yang ada.

“Saya dan jurutera bekerja keras memahami karakter kereta ini. Semua usaha itu akhirnya membuahkan hasil,” katanya.

McLaren pada mulanya hampir melakar keputusan satu-dua apabila Oscar Piastri sempat mendahului perlumbaan, namun nasib malang menimpanya selepas terlibat insiden ketika memotong kereta Carlos Sainz sebelum jenteranya mengalami kerosakan kotak gear yang memaksanya menarik diri ketika berbaki 14 pusingan.

Sementara itu, Ferrari yang disebut-sebut sebagai antara pencabar utama gagal memanfaatkan peluang apabila Charles Leclerc sekadar menamatkan perlumbaan di tempat keempat.

Lewis Hamilton pula pada mulanya menamatkan perlumbaan di kedudukan keempat, namun penalti lima saat akibat memandu melebihi had laju di lorong pit menyaksikan juara dunia tujuh kali itu jatuh ke tangga kelima. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN