fbpx
VERSTAPPEN tidak puas hati mengenai prestasi kotak gear jenteranya yang menyebabkan dia ketinggalan. - AFP

F1: Verstappen berang isu kotak gear

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

SPA-FRANCORCHAMPS – Juara dunia empat kali, Max Verstappen meluahkan rasa kecewa terhadap masalah kotak gear jentera Red Bull selepas menganggap isu tersebut tidak boleh diterima ketika sesi latihan bebas kedua (FP2) Grand Prix (GP) Belgium, kelmarin.

Pelumba Belanda itu sebelum ini memulakan hujung minggu dengan cemerlang apabila muncul terpantas pada sesi latihan bebas pertama (FP1), namun sekadar menamatkan FP2 di kedudukan ketiga, hampir setengah saat di belakang pelumba terpantas.

Verstappen beberapa kali mengadu mengenai pertukaran gear jenteranya menerusi komunikasi radio bersama pasukan sebelum meluahkan rasa tidak puas hati terhadap prestasi sistem tersebut.

“Ya Tuhan, pertukaran gear ini! Tidak boleh dipercayai. Kenapa ia begitu teruk? Perkara seperti ini tidak boleh diterima,” katanya.

Bagaimanapun, Verstappen menjelaskan masalah itu dipercayai berpunca daripada perubahan perisian pada sistem kotak gear yang memerlukan sedikit masa untuk kembali berfungsi dengan baik.

“Saya memang sangat sensitif terhadap perkara seperti ini kerana saya sentiasa mahu memperbaikinya. Saya rasa ada perubahan pada perisian dan kotak gear mengambil sedikit masa untuk menyesuaikan semula pertukaran gear sebelum keadaan bertambah baik pada penghujung sesi.

“Ada ketika ia berfungsi dengan baik dan ada juga ketika sebaliknya, tetapi secara keseluruhan kereta masih berada dalam keadaan yang agak baik,” jelasnya.

Sementara itu, Pengarah Teknikal Red Bull, Pierre Wache mengakui pasukan masih mempunyai beberapa aspek yang perlu diperbaiki terutama melibatkan keseimbangan jentera dan pengurusan degradasi tayar sebelum aksi kelayakan berlangsung. – AGENSI

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN