fbpx
Jangan biarkan gejala negatif di sekolah menjadi normal baharu atau kebiasaan di masa hadapan. - GAMBAR JANAAN AI

‘Bersihkan’ sekolah daripada samseng

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

Sejak kebelakangan ini, rakyat Malaysia dikejutkan dengan pelbagai insiden tidak diingini melibatkan pelajar sekolah.

Beberapa hari lalu, seorang pelajar dibelasah, ditendang rakan-rakan pelajar lain kerana mangsa dikatakan memandang dan mengganggu teman wanita kepada salah seorang daripada mereka.

Bulan ini juga, sekumpulan pelajar membelasah bapa kepada seorang pelajar yang dibuli mereka dalam kejadian yang boleh dikatakan pertama seumpamanya iaitu kategori pelajar belasah ibu bapa pelajar lain.

Beberapa ketika dahulu, kita juga dikejutkan dengan kes kontroversi kematian pelajar di Papar, Sabah.

Tidak lama selepas itu, berlaku insiden amukan pisau yang boleh dikatakan berlaku buat pertama kali di sekolah awam Malaysia. Kejadian itu disusuli insiden tikaman kali kedua yang menggemparkan orang ramai, bukan sahaja kerana berlaku di sekolah, tetapi kali ini, melibatkan pelajar perempuan.

Rentetan insiden tidak diingini, daripada kes buli, samseng sehinggalah kes lain yang lebih serius melibatkan pelajar sekolah ‘menghiasi’ paparan media sosial, seolah-olah gejala tidak sihat ini menjadi kebiasaan baharu.

Persoalannya adakah kes gejala sosial melibatkan pelajar meningkat saban hari, ataupun senario sebegini adalah lumrah sejak tahun 80-an lagi dan tanpa perubahan besar.

Mungkin ada yang mengatakan bahawa gejala negatif dalam kalangan pelajar nampak serius dan meluas sekarang kerana adanya internet, khususnya media sosial.

Pada masa lalu, kata mereka, masalah ini mungkin sudah ‘berleluasa’ tetapi tidak terserlah pada masa itu disebabkan hebahan sangat terhad, tanpa internet mahupun platform sosial dan tanpa istilah ‘viral’.

Ketika itu, mod hebahan melalui akhbar, manakala media elektronik utama cuma radio dan televisyen, sementelah, tidak banyak insiden melibatkan pelajar menjadi paparan berita utama.

Hal tersebut tidak dapat dipastikan tetapi sepanjang pengalaman penulis, pada era 1980an-1990an, kes serius seumpamanya sangat jarang didengari dan hanya jarang-jarang menjadi liputan berita televisyen.

Jika benar gejala sosial membabitkan pelajar sekolah sememangnya meningkat drastik, ibu bapa wajar bimbang kerana sekolah sepatutnya menjadi tempat selamat untuk para pelajar dan warga pendidik.

Penulis teringat, beberapa dekad lalu, berita kes amukan senjata api di sekolah dan institusi pendidikan lain di Amerika Syarikat adalah sangat mengejutkan.

Namun, saban hari , insiden seperti itu tidak lagi begitu mengejutkan kerana setiap kali tembakan di sekolah berlaku, penulis dan rakan lain akan menuding jari kepada Amerika Syarikat sebelum membaca artikel berkaitannya.

Walaupun setiap kes tersebut serius, ia seperti menjadi normal baharu di Amerika kepada pelajar, guru, ibu bapa dan pihak berwajib.

Jangan biarkan gejala negatif di sekolah terutamanya insiden melibatkan pelajar, menjadi normal baharu atau kebiasaan di masa hadapan.

Ini kerana hala tuju, maju mundur sesebuah negara di masa hadapan akan dikemudi oleh mereka yang bergelar pelajar sekarang.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN