SATU ketika dahulu, khalayak kecoh dengan lambakan artis mi segera. Hari ini, dunia hiburan pula rancak melahirkan generasi ‘baby nepo’. Mereka tidak datang hanya membawa impian, tetapi juga nama keluarga yang sudah lebih awal membuka pintu. Mudah!
Itu antara persoalan nakal yang barangkali terbit apabila khalayak disuakan dengan kemunculan semakin ramai ‘produk’ bapak borek anak rintik di pentas hiburan tanah air, lebih-lebih lagi impak program Talk To My Manager (TTMM).
Lihat sahaja nama-nama seperti anak Sharifah Shahira dan Ijoy, Odda atau Auddra, puteri sulung Azad Jazmin dan Eira Syazira, Ammara, anak lelaki tunggal Ameng Spring, Ammar Haikal yang masing-masing sudah ada single pertama.
Glamor juga sedang bersuluh arah Azeva (anak Datuk A Aida dan Ameng), Mila Mohsin (Puan Sri Tiara Jaquelina dan Hani Mohsin), Zaki Yamani dan Osama Yamani ( anak Datuk Jamal Abdillah, Anggrek (anak Adira), Merrah, anak Datuk Awie,Umai (anak Siti Saerah, anak saudara Siti Nurhaliza) dan serta Thalita (Siti Sarah dan Shuib). Sekadar menyebut beberapa nama, jelas bak kata orang, ke mana tumpahnya kuah kalau tidak ke nasi.
Tidak menafikan bakat dan lingkungan seni yang diwarisi, namun perhatian yang menyuluh perjalanan mereka sejak awal juga datang bersama nama besar keluarga. Dalam industri yang semakin bergantung kepada jenama, pengaruh dan algoritma, kelebihan itu sukar dinafikan.
Persoalannya, adakah mereka benar-benar ‘baby nepo’ yang mengesahkan budaya nepotisme dalam dunia hiburan tempatan, jawapannya, ya dan tidak.
Ya, mereka lahir dalam keluarga seni. Nama ‘dasar’ membuka akses segera lebih awal, namun, kelebihan itu bukan jaminan kekal. Pentas hiburan tidak pernah kekurangan anak selebriti, tetapi sejarah membuktikan hanya mereka yang benar-benar berbakat, konsisten dan memiliki identiti tersendiri mampu bertahan.
Lebih menarik, fenomena ini sebenarnya bukan sekadar soal anak siapa paling berbakat. Persoalannya adalah sama ada industri semakin selesa mempertaruhkan nama yang sudah mempunyai nilai komersial. Adakah juga pentas hiburan masih benar-benar meraikan bakat atau jenama keluarga?
Hakikatnya, budaya ini bukan baharu. Jauh sebelum istilah ‘baby nepo’ dipopularkan media sosial, industri hiburan Malaysia sudah lama menyaksikan lahirnya generasi kedua dan ketiga yang menyambung legasi keluarga.
Siti Sarah anak kepada Raisuddin Hamzah, Syamsul Yusof lahir di balik kemilau Datuk Yusof Haslam dan Pita Hati dipelopori anak-anak Datuk M. Nasir. Lebih awal lagi, ada Anita Sarawak dan Noor Kumalasari, Ogy
Ahmad Daud, Azlina Aziz serta Liza Aziz, begitu juga Faizal Hussien yang umum tahu siapa ibu bapa mereka.
Justeru, usah sembrono melabel setiap anak selebriti sebagai produk nepotisme. Ada yang mewarisi nama, tetapi membina legasi sendiri. Ada yang hadir dengan nama besar, namun tenggelam sebelum sempat berlabuh.
Akses awal dan spotlight yang diwarisi bukanlah jaminan sebuah legasi.
Yang lebih afdal direnungkan bukan sekadar mengapa anak artis lebih mudah mendapat peluang, tetapi sama ada industri hari ini masih cukup berani membuka ruang kepada bakat yang hadir tanpa nama besar di belakang. Media pula akan terus menyokong siapa sahaja yang ada kualiti.














