KUALA LUMPUR – Pengarah Cawangan Khas Bukit Aman, Datuk Seri Ibrahim Darus dilantik sebagai pemangku Timbalan Ketua Polis Negara, berkuat kuasa hari ini bagi menggantikan Tan Sri Ayob Khan Mydin Pitchay yang bersara wajib esok selepas hampir 35 tahun berkhidmat dalam Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Majlis serah terima tugas antara Ayob Khan dan Ibrahim berlangsung di Pusat Latihan Polis Kuala Lumpur (Pulapol), di sini, hari ini yang disaksikan Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohd. Khalid Ismail.
Sebelum ini, Ayob Khan dilantik Timbalan Ketua Polis Negara berkuat kuasa 23 Jun 2023 bagi menggantikan Tan Sri Razarudin Husain yang ketika itu dilantik sebagai Ketua Polis Negara.
Untuk rekod, Ayob Khan dilahirkan pada 27 Julai 1966 di Kota Setar, Kedah.
Beliau yang berkelulusan Ijazah Sarjana Teknologi Maklumat dari Universiti Kebangsaan Malaysia pernah menjawat pelbagai jawatan di peringkat negeri dan kontinjen.
Ayob Khan mula menjalani latihan bersama PDRM pada 1991 sebelum memulakan tugas pada 1993.
Nama beliau mula dikenali ketika berkhidmat di Bahagian Anti Pengganas (E8) Cawangan Khas Bukit Aman dari tahun 2013 hingga 2019.
Ia susulan komitmen Ayob Khan yang pernah mengetuai pelbagai operasi penting, termasuk menggagalkan puluhan rancangan serangan militan dan menyiasat kes-kes berprofil tinggi seperti Daesh dan Kumpulan Harimau Pembebasan Tamil Eelam.
Pada 2020, beliau dilantik sebagai Ketua Polis Johor dan berjaya melumpuhkan beberapa kumpulan terancang termasuk sindiket diketuai oleh Nicky Liow.
Ayob Khan kemudian kembali ke Bukit Aman pada 2022 sebagai Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik sebelum mengambil alih Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah. – KOSMO! ONLINE














