UNIVERSITI Islam Selangor (UIS) sedia menyambut kehadiran seramai 980 atlet dan pegawai dari seluruh negara sempena Kejohanan Sukan Institusi Pengajian Tinggi Islam Malaysia (SUPTIM) kali Ke-21 yang berlangsung esok hingga Selasa depan.
Buat julung kalinya, UIS diberikan kepercayaan menjadi tuan rumah kejohanan dwitahunan berprestij itu sejak ia diperkenalkan, sekali gus menandakan satu lagi pencapaian penting universiti dalam penganjuran sukan peringkat institusi pengajian tinggi Islam.
Sebanyak lapan acara akan dipertandingkan sepanjang empat hari kejohanan iaitu bola sepak, futsal, badminton berpasukan, ping pong berpasukan, catur berpasukan, bola jaring, memanah tradisional dan bola tampar.
Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) UIS, Dr. Abdul Razif Zaini berkata, pihak universiti telah melakukan persiapan rapi sejak beberapa bulan lalu bagi memastikan kejohanan berlangsung lancar mengikut piawaian penganjuran sukan yang ditetapkan.
Menurut Abdul Razif, pengalaman UIS dalam mengendalikan pelbagai program dan kejohanan berskala besar menjadi antara kekuatan universiti untuk menjayakan SUPTIM Kali Ke-21.
“UIS komited memastikan setiap kontinjen yang hadir menikmati kemudahan terbaik sepanjang kejohanan berlangsung. Kami yakin dengan pengalaman serta kerjasama semua warga universiti, SUPTIM kali ini mampu dianjurkan dengan lancar, profesional dan menepati standard penganjuran sukan yang sebenar.
“Penganjuran ini juga menjadi platform terbaik untuk mempamerkan kemampuan UIS sebagai sebuah institusi pengajian tinggi yang bukan sahaja cemerlang dalam bidang akademik, malah berupaya menjadi penganjur kejohanan sukan berskala besar,” katanya.
Dalam perkembangan sama, bagi memastikan semua pertandingan berlangsung dalam keadaan terbaik, UIS turut melaksanakan pelbagai kerja menaik taraf infrastruktur dan fasiliti sukan di kampus, termasuk gelanggang futsal serta beberapa venue pertandingan lain.
Usaha penambahbaikan itu dilaksanakan bagi memastikan semua kemudahan berada pada tahap terbaik, selesa dan memenuhi spesifikasi pertandingan sekali gus memberikan pengalaman berkualiti kepada atlet, pegawai serta para pengunjung sepanjang kejohanan berlangsung.
Kali terakhir UIS muncul juara keseluruhan adalah pada edisi 2009 dan 2019, justeru kelebihan beraksi sebagai tuan rumah dilihat mampu dimanfaatkan sepenuhnya untuk mengulangi pencapaian tersebut. – KOSMO! ONLINE














