KUALA LUMPUR – Seluruh warga Polis Diraja Malaysia (PDRM) diseru agar terus memperkukuh integriti, profesionalisme dan semangat kebersamaan dalam melaksanakan amanah demi memastikan pasukan itu kekal diyakini masyarakat dan menjadi benteng utama keselamatan negara.
Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, setiap warga PDRM perlu terus komited dalam menjalankan tanggungjawab supaya pasukan itu sentiasa relevan dan mampu menghadapi cabaran semasa.
“Penghargaan kepada seluruh warga Sang Saka Biru atas sokongan, kerjasama dan kepercayaan yang diberikan sepanjang menggalas amanah sebagai Timbalan Ketua Polis Negara sejak Jun 2023.
“Segala pengalaman dan peluang sepanjang perkhidmatan menjadi kenangan bermakna, selain mengingatkan warga pasukan agar sentiasa berpegang kepada prinsip ‘usaha, doa, tawakal dan reda’ dalam melaksanakan tugas serta berdepan setiap cabaran,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Apresiasi di Dewan Theatrette, Menara 1, Ibu Pejabat Polis Bukit Aman di sini hari ini.
Pada majlis sama, Ayob Khan turut menyampaikan Sijil Penghargaan Timbalan Ketua Polis Negara kepada pegawai dan anggota yang menunjukkan komitmen, dedikasi serta profesionalisme tinggi sehingga menyumbang kepada kejayaan Op Morava yang diterajui Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman.
Beliau turut menyampaikan sijil penghargaan kepada pegawai polis pelbagai pangkat yang berkhidmat di Bukit Aman sebagai pengiktirafan terhadap sumbangan mereka kepada pasukan.
Turut hadir Ketua Komunikasi Korporat, Urus Setia KPN (Komunikasi Korporat), Asisten Komisioner Julina Salehuddin, ACP Urus Setia KPN (Pentadbiran), Asisten Komisioner Dr. Mazlan Ismail serta pegawai kanan polis. – KOSMO! ONLINE














