KANGAR – Tangkapan ke atas seorang lelaki berhubung kes mengedar dadah di Sitiawan, Perak awal bulan lalu membongkarkan sindiket penyeludupan senjata api dipercayai aktif sejak 2019 melibatkan rampasan berjumlah RM360,000.
Ketua Polis Perlis, Datuk Muhammad Abdul Halim berkata, siasatan ke atas suspek membawa kepada beberapa siri serbuan di Perak, Kedah dan negeri ini sepanjang bulan ini.
Menurut beliau, polis merampas lapan pucuk senjata api, 21 senjata airsoft, selaras senapang angin buatan sendiri, ratusan butir peluru pelbagai kaliber dan hampir 9,000 kelongsong peluru.
“Siasatan mendapati sindiket itu dipercayai aktif sejak 2019 dengan senjata api diseludup masuk dari negara jiran sebelum diedarkan kepada rangkaian tertentu di utara Semenanjung,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perlis di sini hari ini.
Muhammad berkata, perkara itu terbongkar selepas sepasukan pegawai dan anggota Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Perak menahan suspek di hadapan sebuah rumah di Taman Terus Maju, Sitiawan pada 1 Julai lalu.
Katanya, pemeriksaan di dalam rumah suspek menemukan tujuh senjata airsoft, 52 butir peluru tabur, sembilan butir peluru 9 milimeter (mm) dan lapan kelongsong peluru.
“Hasil soal siasat, polis melakukan beberapa serbuan di Perlis dan Kedah. Kita percaya senjata api itu diseludup dari negara jiran,” katanya.
Dalam serbuan di sebuah kebun buah-buahan di Kampung Wang Pisang, Beseri pada 5 Julai lalu, pihaknya menahan sepasang suami isteri berusia 49 dan 34 tahun serta merampas lapan senjata airsoft, sepucuk rifle berkaliber .22 dan lebih 600 butir peluru.
Suspek kemudian membawa polis ke sebuah rumah di Wang Ulu, Kangar yang menemukan 155 butir peluru berkaliber .22, 5.56mm dan 9mm.
Dalam serbuan berasingan di sebuah rumah stor di Taman Repoh, polis merampas tiga pucuk senjata api, sembilan senjata airsoft, ratusan butir peluru serta 8,936 kelongsong peluru pelbagai jenis.
Polis turut melakukan serbuan di Taman Utara Jaya, Kuala Perlis, Jalan Kaki Bukit, Kangar dan Lunas, Kedah yang menemukan senapang patah, raifal berkaliber .22, senjata airsoft serta senapang angin buatan sendiri.
Tambahnya, tiga suspek sudah didakwa di Mahkamah Sesyen Kangar dan Kulim mengikut Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971 serta Akta Senjata 1960. Siasatan ke atas suspek lain masih diteruskan.
“Senjata api yang dirampas berpotensi digunakan untuk kegiatan jenayah berat seperti samun bersenjata, pembunuhan, pengedaran dadah dan jenayah terancang,” katanya.- KOSMO! ONLINE














