PETALING JAYA – Tuas keselamatan grenad dipercayai terlepas sebelum balingan disempurnakan dikenal pasti sebagai punca insiden letupan di Kem Hobart, Gurun, Kedah pada 16 Jun lalu.
Insiden berdarah itu mengorbankan dua anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) iaitu Koperal Norazmi Abu Bakar dari Batalion Keenam Rejimen Askar Melayu Diraja dan Prebet Siti Khadijah Sungip dari Skuadron Pertama Rejimen Askar Jurutera Diraja.
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, laporan itu diperoleh hasil siasatan menyeluruh yang dijalankan Lembaga Siasatan Tentera Darat.
Jelasnya, siasatan melibatkan penelitian terhadap aspek teknikal, pematuhan prosedur operasi standard (SOP), bukti di lokasi kejadian dan keterangan saksi sebelum laporan lengkap dikemukakan kepada kementeriannya.
“Berdasarkan kedudukan letupan, bukti di lokasi kejadian dan analisis kesan kecederaan, siasatan mendapati tuas keselamatan dipercayai terlepas sebelum balingan disempurnakan.
“Pembaling mengalami kecederaan serius pada bahagian kepala dan tangan kanan, manakala pengasuh (penyelia) mengalami kecederaan serius pada kepala, badan dan anggota sebelah kiri,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Menurut Mohamed Khaled, corak kecederaan yang dialami kedua-dua anggota pasukan pertahanan itu adalah selaras dengan dapatan grenad berfungsi sebelum sempat dibaling dan meletup ketika berada berhampiran bahagian atas mangsa.
Bagaimanapun, katanya, tiada saksi yang melihat kejadian sebenar menyebabkan siasatan tidak dapat dipastikan ketika mana tuas keselamatan tersebut terlepas. – KOSMO! ONLINE














