KUALA LUMPUR – Perlumbaan Formula Satu (F1) berpotensi kembali menggegarkan Litar Antarabangsa Sepang (SIC) selepas kerajaan mendedahkan telah menerima makluman awal mengenai cadangan penganjuran perlumbaan berprestij itu sebagai pengganti Grand Prix (GP) Bahrain.
Perkembangan tersebut dimaklumkan Menteri Belia dan Sukan, Dr. Mohammed Taufiq Johari menerusi satu kenyataan hari ini, sekali gus memberi bayangan bahawa Malaysia berpeluang kembali berada dalam kalendar perlumbaan paling berprestij dunia itu.
Menurutnya, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) telah menerima makluman awal mengenai cadangan tersebut dan kerajaan kini sedang meneliti semua perkara sebelum sebarang keputusan dimuktamadkan.
“Perdana Menteri dan Kementerian Belia dan Sukan telah menerima makluman awal kemungkinan penganjuran perlumbaan Formula 1 (F1) di Litar Antarabangsa Sepang bagi menggantikan perlumbaan F1 Bahrain,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata, susulan itu, kementeriannya kini sedang menjalankan perbincangan secara terperinci bagi menilai cadangan berkenaan.
“Sehubungan dengan perkara ini, perbincangan serta penelitian oleh pihak KBS sedang giat dijalankan. KBS kekal komited dengan misinya untuk terus menyokong pembangunan sukan negara, termasuklah sukan permotoran. Sebarang perkembangan lanjut akan dimaklumkan setelah ianya dimuktamadkan,” tambahnya.
Difahamkan, Malaysia muncul sebagai calon paling kukuh untuk menjadi tuan rumah perlumbaan F1 musim ini sekiranya Grand Prix Bahrain tidak dapat dijadualkan semula susulan konflik yang berterusan di Asia Barat.
Selain Sepang, beberapa litar lain turut menawarkan diri sebagai venue pengganti, namun Sepang dikatakan memiliki kelebihan dari aspek logistik selain reputasinya yang sentiasa mendapat pujian daripada pelumba dan peminat.
Malaysia kali terakhir menjadi tuan rumah F1 pada 1 Oktober 2017, yang menyaksikan pelumba Red Bull, Max Verstappen muncul juara. -KOSMO! ONLINE














