JASIN – Seorang warga emas maut selepas dirempuh sebuah van kilang dipercayai ketika melintas di Jalan Kesang Pajak di sini, awal pagi tadi.
Dalam kejadian kira-kira pukul 6.20 pagi itu, mangsa yang berusia 69 tahun disahkan meninggal dunia di lokasi akibat kecederaan parah di bahagian kepala.
Ketua Polis Daerah Jasin, Superintendan Lee Robert berkata, siasatan awal mendapati kemalangan berlaku apabila van dipandu lelaki berusia 25 tahun itu dalam perjalanan dari arah Kesang menghala ke Batu Berendam.
Menurutnya, setibanya di lokasi kejadian, pemandu van dipercayai tidak menyedari kehadiran mangsa yang melintas dalam suasana gelap sebelum melanggarnya.
“Mayat mangsa dihantar ke Unit Forensik Hospital Jasin untuk dibedah siasat. Kenderaan terlibat turut ditahan untuk pemeriksaan Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (Puspakom) dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya kepada pemberita.
Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian diminta menghubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor Marwan Shafiq Mohd. Latfi di talian 011-11127533 atau hadir ke mana-mana balai polis berhampiran. – KOSMO! ONLINE














