fbpx
FARIZA NURBAYA (tudung merah) bersama mahasiswa Jurusan Bahasa Melayu di Universiti Thaksin Songkla.

Misi hidupkan kembali bahasa Melayu di Selatan Thai

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

“MASIH segar di ingatan saya, seorang ustazah berusia sekitar 50-an tidak dapat menahan sebak hingga menangis selepas tiga hari mengikuti kursus bahasa Melayu apabila kembali mengingati perkataan yang pernah didengarnya ketika kecil.”

Detik itu menggambarkan keadaan bahasa Melayu dalam kalangan sebahagian masyarakat Melayu di Selatan Thailand yang semakin berdepan cabaran apabila penggunaannya dalam kehidupan harian semakin berkurangan.

Perkara tersebut dikongsi bekas Guru Cemerlang Bahasa Melayu, Fariza Nurbaya Muhammad, ketika mengimbau kembali usaha bersama pasukan kecilnya memperkukuh bahasa Melayu di Selatan Thailand.

Sebagai contoh, Pulau Tanjung Uma di Satun mempunyai kira-kira 3,000 penduduk yang keseluruhannya beragama Islam, namun masyarakat di pulau berkenaan tidak lagi menggunakan bahasa Melayu dalam pertuturan harian.

Menurut pengasas Pertubuhan Kebajikan Pendidik Prihatin Malaysia (PKPPM) Konsultansi itu, usaha tersebut dilaksanakan secara berterusan menerusi kumpulan kecil yang bergerak sebagai pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dengan sokongan pelbagai pihak termasuk institusi pengajian tinggi dan tenaga pengajar dari Malaysia.

“Penggunaan bahasa Melayu di Selatan Thailand kini berdepan cabaran apabila di sesetengah kawasan bahasa tersebut semakin kurang digunakan dalam kehidupan harian.

“Di Narathiwat, masih ada kawasan yang kanak-kanak bercakap bahasa Melayu sesama sendiri.

“Tetapi di sesetengah tempat lain, mereka tidak lagi bercakap bahasa Melayu kerana di rumah ibu bapa sendiri mungkin sudah menggunakan bahasa Thai dengan anak-anak.

“Jadi, tugas kami adalah memastikan bahasa Melayu itu tidak terus merosot,” katanya kepada K-Remaja.

PKPPM bersama murid-murid tadika
di Pulau Tanjung Uma, Wilayah Satun, Thailand.

Penglibatan Fariza Nurbaya bersama suaminya, Mohammad Affandi Abdul Rahman, bermula sekitar tahun 2011 apabila mereka diundang menyampaikan bengkel pedagogi bahasa Melayu di Universitas Pendidikan Indonesia (UPI), Bandung, Indonesia.

Dalam bengkel berkaitan kaedah pengajaran bahasa Melayu itu, Fariza bertemu dengan pengetua sekolah Islam terbesar di Thailand, Razi Bensulong iaitu Thamavitya Mulniti School. Razi juga merupakan pengerusi Jamiah Islamiyah Syeikh Daud Fatoni (JISDA), sebuah institusi pengajian tinggi Islam di Thailand.

Pertemuan tersebut menjadi titik tolak kepada pelaksanaan pelbagai projek pendidikan bahasa Melayu di Selatan Thailand.

Menurut Fariza Nurbaya, antara cabaran utama yang dihadapi ialah kekurangan kepakaran pedagogi dalam kalangan sebahagian guru bahasa Melayu yang rata-ratanya berlatarbelakangkan pengajian agama dari Yaman, Mesir dan negara lain.

“Selain daripada masalah guru yang bukan berlatar belakangkan bahasa Melayu, pengaruh dialek tempatan serta bahasa Thai dalam pengajaran menyebabkan penggunaan bahasa Melayu baku semakin berkurangan.

“Perbezaan sistem bunyi dan huruf antara kedua-dua bahasa, termasuk sebutan seperti ‘ng’ dan ‘j’ yang tidak wujud dalam bahasa Thai, turut menyukarkan proses pembelajaran,” katanya.

Bagi memastikan bahasa Melayu terus digunakan, Fariza Nurbaya berkata, PKPPM memberi tumpuan kepada penganjuran bengkel pedagogi, penyediaan bahan bantu mengajar serta sesi motivasi kepada guru-guru di Selatan Thailand.

Selain itu, pihaknya turut membawa guru dan pentadbir sekolah dari Selatan Thailand ke Malaysia bagi mengikuti sesi perkongsian ilmu berkaitan pengajaran dan pengurusan pendidikan.

Fariza Nurbaya berkata, usaha tersebut penting bagi memastikan bahasa Melayu terus bertahan walaupun mengembalikan kedudukannya seperti dahulu merupakan cabaran besar.

“Saya pernah bertemu seorang tokoh di Thailand yang berkata bahasa Melayu ini mungkin sudah tiada lagi dalam tempoh 15 tahun.

“Tetapi, kalau usaha ini diteruskan, 30 tahun lagi pun bahasa Melayu masih boleh ada,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN