APAKAH hukum memberi hadiah al-Quran dan terjemahan kepada orang bukan Islam?
JAWAPAN: Al-Quran adalah kitab yang menjadi panduan semua umat Islam dan dimuliakan sepanjang zaman. Menurut Jumhur ulama, wajib bagi seseorang Muslim itu suci daripada hadas kecil dan besar sebelum dia memegang mushaf atau menanggungnya.
Dalam isu menghadiahkan naskhah al-Quran kepada orang bukan Islam, terdapat dua pandangan ulama. Pertama, pandangan yang tidak membenarkan. Kedua, pandangan yang membenarkan dengan syarat.
Pandangan yang tidak membenarkan
Mereka mengqiyaskan dengan pengharaman memberi milik mushaf kepada orang kafir. Ini berdasarkan sebuah hadis di dalam al-Sahihayn: Daripada Abdullah bin Umar RA, bahawa Rasulullah SAW melarang bermusafir dengan al-Quran ke tempat musuh.” [Riwayat al-Bukhari (2990) dan Muslim (1869)]
Imam al-Nawawi mengatakan pada hadis ini terdapat larangan permusafiran dengan membawa al-Quran ke negara orang kafir atas sebab yang dinyatakan di dalam hadis (di dalam riwayat lain) iaitu bimbang musuh akan menghina al-Quran, maka dengan itu akan mencemarkan kesucian al-Quran.
Jika aman daripada perkara tersebut seperti masuknya tentera Islam ke dalam negara bukan Islam yang mana tentera Islam sedang menguasai ke atas orang yang bukan Islam, maka hal ini tidak makruh dan tiada larangan disebabkan hilangnya sebab (larangan tersebut).
Ini adalah sahih (tepat) serta disokong oleh Abu Hanifah, al-Bukhari dan selain daripada mereka. Adapun Imam Malik dan sebahagian daripada ashab kami (ulama al-Syafi’eyyah) berpendapat larangan itu bersifat mutlak (walaupun tiada sebab). [Rujuk al-Minhaj Syarah Sahih Muslim, 13/13]
Justeru, kitab tafsir al-Quran juga termasuk dalam pengertian kitab-kitab ilmu syarak yang mendapat kemuliaan dan perlindungan yang sama daripada bahaya penghinaan jika jatuh ke tangan orang kafir.
Pandangan membenarkan bersyarat
Para ulama yang cenderung kepada pendapat ini berdalilkan bahawa illah (sebab) pengharaman adalah kemungkinan berlakunya penghinaan orang kafir terhadap al-Quran. Justeru, apabila illah ini dapat dihilangkan, maka kembalilah hukumnya sebagai harus. Ini merupakan pendapat minoriti ulama khususnya ulama kontemporari seperti Syeikh Muhammad al-Arifi, anggota Rabitah Alam al-Islami.
Manakala sebahagian ulama lain tidak menganggap naskhah yang mengandungi ayat-ayat al-Quran itu sebagai mushaf al-Quran, dengan syarat-syarat tertentu, justeru hukum larangan terbabit tidak terpakai ke atas kitab-kitab tafsir dan terjemahan.
Hujah-hujah mereka adalah al-Quran terjemahan bukanlah mushaf kerana ia bercampur dengan makna-makna ayat.
Ini sepertimana yang disebut oleh al-Imam al-Nawawi Rahimahullah di dalam kitabnya al-Majmu` [Lihat Al-Majmu` Syarh al-Muhazzab, 2/69]: “Sekiranya tafsir itu lebih banyak daripada kebiasaannya, maka padanya ada beberapa pendapat dan yang paling sahih adalah tidak diharamkan (untuk menyentuh dan membawanya) kerana ia bukanlah mushaf.”
Berdasarkan perkataan Imam al-Nawawi di atas, kita dapat memahami bahawa tafsir al-Quran atau terjemahan al-Quran bukan dinamakan sebagai mushaf dan hukum mushaf tidak terpakai padanya.
Kedua, orang berhadas dibenarkan menyentuh al-Quran terjemahan atau tafsir al-Quran. Jumhur ulama mengatakan dibolehkan bagi menyentuh, membawa dan mengulang kaji tafsir al-Quran yang mana padanya terdapat ayat-ayat al-Quran meskipun dalam keadaan berjunub. Ini kerana, yang dimaksudkan tafsir itu adalah makna-makna daripada al-Quran dan bukannya membacanya. Maka, hukum al-Quran tidak terpakai kepadanya.
Adapun di sisi mazhab Syafi’i, yang sahih di sisi mereka adalah haram menyentuh dan membawa tafsir sekiranya ayat al-Quran lebih banyak daripada tafsirnya. Sekiranya tafsirnya lebih banyak daripada ayat al-Quran, maka hukumnya adalah dibolehkan.
“Adapun terjemahan makna al-Quran dengan bahasa-bahasa asing (selain daripada arab) adalah dinamakan satu jenis daripada tafsir sebagaimana yang disebutkan oleh ulama mazhab al-Maliki. Maka dengan itu, tidak mengapa orang yang berhadas menyentuhnya di sisi sesiapa yang tidak menghalang orang yang berhadas menyentuh kitab-kitab tafsir.” [Rujuk al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah, 10/38]
Perkara ini jelas, jika seorang yang berhadas itu dibenarkan untuk menyentuh dan membawa tafsir al-Quran dengan syarat tafsirnya lebih banyak daripada ayat al-Quran, maka orang yang bukan Islam juga dibenarkan untuk menyentuh dan membawa tafsir al-Quran atau terjemahannya jika menepati syarat berikut.
Kesimpulannya, berdasarkan kepada keterangan di atas, maka kami cenderung kepada pendapat kedua bahawa dibenarkan bagi seseorang Muslim untuk menghadiahkan naskhah al-Quran berserta terjemahan atau tafsirnya kepada orang bukan Islam, dengan syarat bahawa dia mempercayai orang bukan Islam tersebut tidak akan menghina naskhah tersebut.
Ini kerana hadis hanya melarang pemberian mushaf kepada musuh Islam kerana mereka akan menghina dan mencemar kesucian al-Quran.
Adapun jika dipercayai mereka tidak akan menghinanya, maka mengikut sebahagian ulama maka hukumnya adalah dibolehkan kerana illah hukumnya telah yakni bahaya penghinaan itu telah hilang.
Manakala mengikut Jumhur, harus memberikan naskhah yang mengandungi ayat al-Quran dan lafaz-lafaz lain yang lebih banyak seperti tafsir dan lain-lain, sehingga naskhah tersebut tidak lagi dianggap mushaf al-Quran. Sekalipun begitu, memandangkan naskhah tersebut masih perlu dimuliakan kerana terkandung di dalamnya ilmu-ilmu syarak, maka tidak harus ia dihadiahkan kepada orang kafir yang ditakuti akan merosakkannya.














