NILAI – Hampir sebulan selepas menjalani pembedahan membuang ketumbuhan otak, seorang kanak-kanak perempuan berusia lima tahun masih menerima rawatan di Unit Rawatan Rapi Pediatrik (PICU), Hospital Tunku Azizah (HTA), Kuala Lumpur.
Tiara Camelia Muhammad Ralfie yang menghidap kanser otak jenis Pilocytic Astrocytoma kini masih memerlukan pemantauan rapi serta bantuan pernafasan melalui trakeostomi.
Ibunya, Mardiana Abdul Husin, 26, berkata, keluarga terus berharap agar keadaan anak sulungnya itu bertambah baik selepas menjalani pembedahan bulan lalu.
“Sudah hampir sebulan Tiara berada di PICU. Kami hanya mengharapkan kesembuhan dan tidak putus berdoa agar Allah SWT memberikan kekuatan kepada Tiara,” katanya ketika dihubungi.
Menurutnya, Tiara pada mulanya hanya mengadu sakit kepala sebelum keadaan menjadi semakin serius apabila mata kanannya bertukar juling.
Katanya, pemeriksaan di Hospital Tuanku Jaafar Seremban kemudian mengesan ketumbuhan di bahagian belakang otak berhampiran saraf tunjang sebelum Tiara dirujuk ke HTA untuk menjalani pembedahan.
Sejak Tiara dimasukkan ke hospital, dia dan suaminya, Mohammad Ralfie Ansari, 29, bergilir-gilir menjaganya sehingga suaminya tidak dapat meneruskan pekerjaan.
“Keadaan itu menyebabkan pendapatan keluarga terjejas kerana kami pada masa sama perlu menyediakan pelbagai keperluan perubatannya termasuk mesin suction, peralatan trakeostomi, ubat-ubatan serta lampin pakai buang yang dianggarkan menelan kos kira-kira RM4,000.
“Keutamaan kami sekarang untuk memastikan Tiara mendapat segala keperluan rawatan. Kami juga memohon doa orang ramai agar Tiara diberikan kesembuhan dan dipermudahkan segala urusan,” katanya.
Orang ramai yang ingin menghulurkan sumbangan boleh berbuat demikian di CIMB Bank 7657372212 atas nama Mardiana Abdul Husin.














