PETALING JAYA – Utamakan kesejahteraan anak, pelakon Azar Azmi tidak menghantar dua cahaya matanya kepada pengasuh kerana berdepan masalah kepercayaan atau ‘trust issue’ susulan lambakan kes penderaan kanak-kanak.
Azar atau nama sebenarnya Siti Azar Ameerah Azmi, 37, berkata, setiap kali keluar bekerja atau menjalani penggambaran, dua anaknya yang kini berusia tiga dan empat tahun dijaga kakaknya sendiri.
“Saya lebih percaya darah daging sendiri yang jaga. Kakak memang tak bekerja, jadi dia yang akan menjaga anak-anak kalau saya keluar bekerja.
“Saya memang ada ‘trust issue’. Banyak sangat kita baca kes melibatkan kanak-kanak. Budak-budak tak bersalah, mereka tak tahu apa-apa. Kita sebagai orang dewasa yang perlu menjaga mereka.
“Saya takut sebab kita tak tahu apa jadi di belakang kita. Bukan nak kata semua pengasuh begitu, tetapi fikiran negatif memang ada. Saya sentiasa tertanya-tanya sama ada anak dijaga dengan baik atau tidak,” katanya ketika ditemui selepas sidang media drama bersiri Bulan Henti Bicara, semalam.
Dalam pada itu, Azar berkata, kedua-dua anaknya merancang untuk memberikan pendidikan secara ‘homeschool’ (di rumah) terlebih dahulu sebelum menghantar mereka ke sekolah apabila tiba masanya.
“Anak-anak masih kecil, baru berusia tiga dan empat tahun. Buat masa ini saya rancang ‘homeschool’ dulu sebelum masukkan mereka ke sekolah,” ujarnya
Tambah Aza, dia kini berusaha lebih kuat mencari rezeki demi memastikan segala keperluan anak-anak termasuk susu, lampin dan pendidikan mereka dapat disediakan dengan sempurna.
“Kalau saya tak kuat, siapa lagi nak kuat untuk anak-anak? Saya kena bekerja sebab nak beli susu, lampin dan nanti bila mereka bersekolah, saya perlu pastikan semuanya mencukupi,” katanya.
Azar juga bersyukur dikelilingi adik-beradik yang sentiasa beri sokongan sekali gus menjadi tempat bergantung selepas dilanda kontroversi sebelum ini.
“Hubungan kami lima beradik sangat rapat selepas kedua ibu bapa kami sudah tiada.
“Selepas kontroversi yang berlaku, adik beradiklah menjadi tempat saya meluahkan masalah dan bergantung hidup.
“Kakak saya kini membantu menjaga anak bila saya terbabit dengan penggambaran. Mereka lah juga tempat anak-anak berkongsi kasih sayang,” katanya.
Sementara itu, mengenai lakonannya dalam drama rantaian siaran Melodrama Astro bermula 27 Julai ini, katanya itu naskhah pertama dibintangi selepas bertahun-tahun menyepi.
Selain Azar, karya arahan Eyra Rahman itu turut dibintangi Azhan Rani, Ezzanie Jasny, Ali Reza dan Rashidah Jaafar. – KOSMO! ONLINE














